Juara Piala Dunia, legenda FIFA desak perubahan segera; dakwa Infantino 'dibutakan kuasa'
Presiden FIFA Gianni Infantino menghadiri majlis penutup Piala Dunia Esukan di Grand Palais, Paris, Perancis, pada 23 Ogos 2026. (Gambar: Teresa Suarez/Pool menerusi REUTERS)
- Sekumpulan bekas pemain antarabangsa dan legenda FIFA, termasuk Emmanuel Petit, Briana Scurry dan Didier Drogba, mendesak perubahan segera dalam kepimpinan FIFA.
- Mereka mengkritik Presiden Gianni Infantino kerana didakwa mengabaikan nilai teras bola sepak dan mengutamakan kepentingan sendiri.
- Tekanan terhadap Infantino meningkat selepas cadangan penubuhan badan komersial FIFA dibatalkan, dengan beberapa konfederasi seperti UEFA, AFC dan CONCACAF turut menentang beliau.
- Kumpulan itu menuntut pemain dan peminat diberikan suara sebenar dalam pentadbiran bola sepak, serta menyeru perubahan struktur demi masa depan sukan tersebut.
Tekanan terhadap Infantino untuk meletak jawatan semakin meningkat selepas beliau mengetepikan cadangan, yang kini sudah dibatalkan, untuk menubuhkan sebuah badan komersial bagi menguruskan hak kejohanan FIFA dan menjual 20 peratus kepentingannya kepada pelabur swasta.
Infantino bagaimanapun belum menunjukkan tanda-tanda mahu berundur daripada jawatan yang disandangnya sejak 2016.
Ini meskipun beliau berdepan tentangan terbuka daripada beberapa konfederasi FIFA sendiri, termasuk Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF).
Ia berlaku sedang terdapat perbincangan mengenai kemungkinan undi tidak percaya terhadap Infantino.
'PERUBAHAN DIPERLUKAN'
"Kami berkongsi keprihatinan yang sama seperti jutaan peminat di seluruh dunia," menurut kumpulan bekas pemain itu.
Antara mereka ialah juara Piala Dunia 1998 bersama Perancis, Emmanuel Petit, Bixente Lizarazu dan Robert Pires.
Turut menyertai kumpulan itu ialah bekas juara Piala Dunia wanita Amerika Syarikat Briana Scurry dan bekas pemain antarabangsa England Lucy Bronze.
"Seperti mereka, kami menyaksikan sukan yang kami cintai semakin jauh daripada nilai-nilai terasnya di bawah kepimpinan FIFA sekarang.
"Perubahan diperlukan. Kuasa telah mengaburi keupayaan kepimpinan sekarang untuk membezakan antara kepentingan mereka sendiri dengan apa yang terbaik untuk bola sepak," menurut kumpulan tersebut.
Reuters sudah menghubungi FIFA untuk mendapatkan komen.
Kumpulan itu turut merangkumi bekas penyerang Peru Claudio Pizarro, bekas pemain antarabangsa Argentina Juan Sebastian Veron dan bekas kapten Togo Emmanuel Adebayor.
Legenda FIFA Didier Drogba dan David James turut menyertai kumpulan tersebut.
Legenda FIFA merupakan bekas pemain yang diiktiraf atas sumbangan mereka kepada sukan itu dan membantu mempromosikan bola sepak bagi pihak FIFA, termasuk menerusi perlawanan pertunjukan serta projek sosial dan amal di serata dunia.
MAHU PEMAIN, PEMINAT DIBERI SUARA
"Kami menyeru semua pihak berkepentingan supaya tampil dan membantu membentuk semula masa depan sukan kita.
"Terdapat individu yang baik dalam FIFA yang mahu membina semula kepercayaan, namun era baharu memerlukan perubahan struktur: pemain dan peminat perlu diberikan suara sebenar dan secara langsung dalam menentukan bagaimana bola sepak ditadbir," menurut kumpulan itu.
Infantino bakal bertanding untuk dipilih semula tahun depan.
Namun, kuasa-kuasa utama bola sepak serantau sedang membincangkan kemungkinan mengemukakan undi tidak percaya terhadapnya sebelum pemilihan tersebut, menurut beberapa pegawai kanan yang mengetahui perbincangan itu kepada Reuters minggu lalu.
"Mereka yang turun ke padang dan mereka yang berada di tempat duduk penonton berhak diberikan suara sebenar untuk bersama-sama membentuk semula masa depan bola sepak.
"Demi peminat, pemain dan kebaikan sukan ini, kami tidak akan berdiam diri lagi," menurut kumpulan bekas pemain tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.