Juara bertahan PSG bakal berdepan Barcelona, Man City dalam Liga Juara-Juara
Juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG) bakal berdepan Barcelona dan Manchester City dalam fasa liga Liga Juara-Juara musim ini, selepas undian pada Khamis (27 Ogos) menyajikan beberapa pertembungan menarik.
Para pemain Paris Saint-Germain meraikan kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara UEFA selepas menewaskan Arsenal dalam perlawanan akhir pada 31 Mei 2026. (Gambar: Pool menerusi REUTERS/Franck Fife)
PSG kendalian Luis Enrique, yang mengalahkan juara Liga Perdana England Arsenal menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir pada Mei 2026 untuk mempertahankan kejuaraan, akan menerima kunjungan Barcelona dan bertandang ke Manchester City.
Enam lagi lawan PSG ialah Roma, Aston Villa, Galatasaray, Villarreal, Slovan Bratislava dan Como.
Format fasa liga yang diperkenalkan pada musim 2024-2025 kini memasuki musim ketiga.
REAL MADRID BAKAL BERTEMU INTER, ARSENAL
Juara Eropah 15 kali Real Madrid pula akan menerima kunjungan Inter Milan sebelum bertandang ke Arsenal.
Mereka turut akan berdepan PSV Eindhoven, Roma, RB Leipzig, Shakhtar Donetsk, LASK dan AEK Athens.
Pertemuan menentang Inter bakal menyaksikan pengurus baharu Real Madrid Jose Mourinho berdepan salah sebuah bekas kelab kendaliannya.
Mourinho, yang kembali mengendalikan Real buat kali kedua pada Jun lalu, membimbing Inter menjuarai Liga Juara-Juara pada 2010 sebelum berpindah ke Santiago Bernabeu.
Bayern Munich, yang enam kali bergelar juara Eropah, pula akan menerima kunjungan Arsenal selain bertandang ke Atletico Madrid dan Manchester United.
Liverpool, kini di bawah kendalian pengurus baharu Andoni Iraola, turut berdepan beberapa perlawanan besar termasuk menentang Inter dan Atletico.
MAN UNITED KEMBALI SELEPAS DUA MUSIM
Liga Perdana England dan LaLiga mempunyai wakil paling ramai dalam Liga Juara-Juara musim ini, dengan masing-masing lima kelab.
England diwakili Arsenal, Manchester City, Manchester United, Aston Villa dan Liverpool.
Barcelona, Real Madrid, Villarreal, Atletico Madrid dan Real Betis pula menjadi wakil Sepanyol.
Manchester United kembali beraksi dalam kejohanan kelab elit Eropah itu selepas dua musim tidak menyertainya.
United berdepan ujian getir sekembalinya ke Liga Juara-Juara, dengan Atletico Madrid, Bayern Munich dan Roma antara pencabar yang menanti pasukan gergasi England tersebut.
Fasa liga bermula pada 8 September dengan 36 pasukan beraksi dalam lapan pusingan perlawanan sehingga 27 Januari.
Pusingan kalah mati bermula pada Februari sebelum perlawanan akhir berlangsung pada 5 Jun di Stadium Metropolitano milik Atletico Madrid.
Stadium itu akan menjadi tuan rumah perlawanan akhir Liga Juara-Juara buat kali kedua selepas menjadi gelanggang kemenangan 2-0 Liverpool ke atas Tottenham Hotspur pada 2019.
Atletico sendiri berdepan antara undian paling mencabar dalam fasa liga musim ini.
Kelab Sepanyol itu akan menerima kunjungan Bayern dan United di Madrid, selain bertandang ke Liverpool.
Sementara itu, bekas penyerang Arsenal Thierry Henry dinamakan sebagai penerima Anugerah Presiden UEFA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.