Joseph Schooling bakal diiktiraf Dewan Kemasyhuran Renang Antarabangsa
Satu-satunya pemenang pingat emas Sukan Olimpik bagi Singapura, Joseph Schooling, akan disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Renang Antarabangsa (ISHOF) pada lewat tahun ini.

Schooling mengumumkan persaraannya pada April tahun lalu di mana beliau turut berkongsi harapan untuk menumpukan perhatian kepada sekolah renangnya. (Gambar: AFP/Philippe Lopez)
SINGAPURA: Satu-satunya pemenang pingat emas Sukan Olimpik bagi Singapura, Joseph Schooling, akan disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Renang Antarabangsa (ISHOF) pada lewat tahun ini.
Schooling akan menjadi warga Singapura pertama yang menyertai senarai atlet berprestij yang termasuk Michael Phelps, perenang Olimpik paling terkenal sepanjang zaman dengan 28 pingat, legenda renang Amerika Mark Spitz, dan bekas pemegang rekod dunia gaya kuak dada 100m, Kosuke Kitajima dari Jepun.
ISHOF dalam laman webnya menyatakan bahawa ia akan mengiktiraf seramai 11 penerima anugerah dari sembilan negara pada 2025. Antaranya ialah perenang, pemain sukan polo air, perenang seirama, jurulatih dan penyumbang lain kepada sukan itu.
Ia juga merupakan kali pertama penerima anugerah dari Kuwait, India dan Tunisia akan disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran, kata pertubuhan itu.
Turut masuk dalam senarai itu ialah atlet Olimpik Amerika Anthony Ervin dan Ryan Locht, dan bintang renang Itali Federica Pellegrini.
ISHOF turut mendedahkan bahawa ia akan menganjurkan Majlis Ulang Tahun ke-60 Induksi Dewan Kemasyhuran di Singapura pada 28 Julai sempena Kejohanan Akuatik Dunia. Majlis tersebut akan diadakan di Park Royal Collection di Marina Bay.
Schooling memenangi pingat emas pertama Singapura di Sukan Olimpik Rio 2016 dalam kategori kupu-kupu 100m, mengalahkan idola zaman kanak-kanaknya iaitu Phelps.
Masa yang dicatatkannya 50.39 saat juga memecahkan rekod 100m gaya kupu-kupu yang dipegang oleh Phelps dan mencipta rekod Olimpik ketika itu. Phelps, perenang Hungary Laszlo Cseh, dan perenang Olimpik Afrika Selatan yang paling terkenal, Chad le Clos, terikat meraih pingat perak dalam perlumbaan itu.
Schooling memegang lapan rekod nasional - enam dalam acara individu dan dua dalam acara berganti-ganti.
Beliau juga dinobatkan sebagai Olahragawan Terbaik di Anugerah Sukan Singapura sebanyak enam kali dan memenangi tiga pingat emas semasa Sukan Asia 2014 dan 2018, dua pingat gangsa di Kejohanan Dunia dan 27 pingat emas di Sukan SEA.
Pada April tahun lalu, Schooling mengumumkan persaraannya daripada sukan renang kompetitif, dengan mengatakan bahawa perkara itu sudah lama terlintas dalam fikirannya.
"Saya sudah bersedia untuk melakukan sesuatu yang lain. Saya tidak lagi mendapat keseronokan daripada sukan ini berbanding keghairahan saya ketika berusia empat tahun... Saya masih memikirkan kemungkinan melayakkan diri untuk bertanding di Sukan Olimpik Musim Panas 2024 di Paris. Saya sentiasa memberitahu diri saya bahawa saya akan menamatkannya apabila saya berumur 29 tahun," kata Schooling kepada Mediacorp pada tahun lalu.
Schooling merancang untuk memberi tumpuan kepada sekolah renangnya.
"Saya mahu menyumbang semula kepada masyarakat sukan. Saya tidak mahu menghilangkan diri begitu sahaja. Saya rasa banyak yang boleh saya tawarkan. Dan banyak halangan yang terpaksa saya atasi bersama ibu bapa dan pasukan saya, yang boleh saya berikan kepada atlet muda," katanya.
Schooling berkata beliau masih bersikap kompetitif, tetapi berpendapat sudah tiba masanya untuk menyalurkan daya saing itu kepada "sesuatu yang berbeza".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.