Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Jersi Messi 'tidak ke mana-mana' jika berhasrat kembali beraksi dalam Piala Dunia seterusnya, kata Scaloni

Anggaran Waktu Membaca:
Jersi Messi 'tidak ke mana-mana' jika berhasrat kembali beraksi dalam Piala Dunia seterusnya, kata Scaloni

(Gambar: Kirill KUDRYAVTSEV / AFP)

LUSAIL, Qatar: Pengurus pasukan Argentina, Lionel Scaloni berkata beliau akan memastikan jersi Lionel Messi 'tidak ke mana-mana' jika Messi memutuskan untuk bermain dalam Piala Dunia seterusnya selepas pemain itu berjaya menamatkan penantian Argentina selama 36 tahun untuk menjulang trofi berprestij itu sekali lagi.

Pada malam penuh drama, Messi menjaringkan dua gol dan sekali lagi dalam penentuan tendangan penalti untuk membantu Argentina mengalahkan Perancis 4-2 melalui tendangan penalti selepas perlawanan terikat 3-3 dalam masa tambahan.

Selepas mencapai impiannya untuk menjulang trofi berprestij itu, ramai bertanggapan Messi yang berusia 35 tahun tidak lagi akan menyarung jersi pasukan Argentina.

Tetapi dalam beberapa saat, Messi memutuskan bahawa beliau tidak merancang untuk bersara daripada kejohanan antarabangsa dalam masa terdekat.

Keputusan itu dialu-alukan oleh jurulatihnya.

"Saya rasa kami harus menyimpan jersi nombor 10 buat Piala Dunia akan datang jika beliau (Messi) ingin beraksi," kata Scaloni dalam sidang media.

"Beliau berhak melakukan apa sahaja yang beliau inginkan dalam kerjayanya. Apa yang beliau lakukan buat pasukan ini cukup luar biasa dan saya tidak pernah melihat seseorang yang begitu berpengaruh di dalam bilik persalinan.

Menurut Scaloni, menyusuli kemenangan Argentina dalam Kejohanan Copa Amerika pada tahun lalu apabila pasukan itu berjaya menundukkan Brazil dalam perlawanan akhir, para pemain Argentina sudah mula berasa yakin pada keupayaan mereka.

Dengan kejayaan Piala Dunia dikecapi dua tahun selepas pemergian pemain legenda, Diego Maradona, yang memimpin pasukan Argentina menjuarai Piala Dunia pada 1986, Scaloni dengan penuh emosi berkata: "Saya baru sedar bahawa Maradona tidak lagi bersama kami, saya rasa beliau pasti gembira dan bangga atas kejayaan kami di mana sahaja beliau berada."

"Jika beliau di sini, beliau pasti peminat pertama yang akan menjejakkan kaki ke padang untuk sama-sama meraikan kejayaan kami. Saya berharap beliau bangga dengan pencapaian kami."

Scaloni juga menitiskan air mata setelah menyedari betapa besar makna di sebalik kemenangan itu kepada jutaan rakyat Argentina yang menyokong pasukan itu, termasuk keluarga dan rakan-rakannya.

"Ia satu penghormatan yang besar untuk mewakili negara ini dan saya berharap kami sudah membanggakan para peminat dan penyokong kami."

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan