Skip to main content

Sukan

JEREBU RENTAS SEMPADAN: Perlawanan akhir Piala FA SG ditangguhkan, beberapa acara sukan dan masyarakat turut terjejas

Perlawanan akhir Piala FA Singapura dan perlawanan penentuan tempat ketiga yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu (17 Okt) ditangguhkan akibat keadaan jerebu yang menjejas mutu udara di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
JEREBU RENTAS SEMPADAN: Perlawanan akhir Piala FA SG ditangguhkan, beberapa acara sukan dan masyarakat turut terjejas

Stadium Jurong East, tempat perlawanan akhir Piala FA Singapura dan penentuan tempat ketiga dijadualkan berlangsung pada 17 Oktober 2026. (Gambar fail: ActiveSG)

Diterbitkan : 17 Oct 2026 12:44PM
CROSS-BORDER HAZE: Singapore FA Cup final postponed, with several sports and community events also affected
  • FAS postponed the Singapore FA Cup final and third-place play-off at Jurong East Stadium, which were scheduled for 17 October, after the PSI in the western region exceeded 200 and breached the threshold in the protocol for amateur football.
  • The 24-hour PSI reading reached 229 on 16 October, the highest that year. FAS will set a new date, while protocols developed with Sport Singapore set different thresholds for different football categories to protect players and the public.
  • The haze also led to the cancellation of the Great Eastern Women’s Run on 1 November and the ISCA Run at Gardens by the Bay, both on participant safety grounds. Nearly 3,000 people were expected to take part in the ISCA Run.
  • The Purple Parade, which celebrates the contributions of people with disabilities and inclusion, was moved from 24 October to the first half of 2027. Minister for Health Ong Ye Kung said public health had to come first, despite the disappointment.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Perlawanan akhir Piala FA Singapura dan perlawanan penentuan tempat ketiga yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu (17 Okt) ditangguhkan akibat keadaan jerebu yang menjejas mutu udara di Singapura.

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Jumaat (16 Okt) menyatakan kedua-dua perlawanan di Stadium Jurong East itu tidak dapat diteruskan selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) di kawasan barat melebihi 200.

Bacaan itu melepasi paras yang dibenarkan bagi perlawanan bola sepak amatur di bawah Protokol Pengurusan Jerebu FAS-Liga Perdana Singapura (SPL).

FAS menyatakan kedua-dua perlawanan akan dijadualkan semula, dengan butiran lanjut diumumkan kelak.

Penangguhan itu diumumkan selepas bacaan PSI 24 jam mencecah 229 pada Jumaat, iaitu paras tertinggi yang direkodkan sepanjang tahun ini.

Mutu udara bertambah baik pada pagi Sabtu (17 Okt), namun bacaan PSI masih berada pada paras tidak sihat.

Piala FA merupakan pertandingan tahunan secara kalah mati yang dianjurkan FAS bagi kelab-kelab yang bersaing dalam liga bola sepak amatur Singapura.

PROTOKOL JEREBU UTAMAKAN KESELAMATAN PEMAIN

Di bawah protokol FAS-SPL, perlawanan amatur hanya boleh diteruskan sekiranya ramalan bacaan PSI 24 jam tidak melebihi 200, manakala bacaan zarah halus PM2.5 sejam berada pada paras normal atau meningkat.

Syarat lebih ketat dikenakan bagi bola sepak belia, dengan perlawanan dan latihan hanya dibenarkan apabila bacaan PM2.5 sejam berada pada paras normal dan ramalan bacaan PSI 24 jam tidak melebihi 100.

Bagi perlawanan profesional, termasuk Liga Perdana Singapura, perlawanan boleh diteruskan selagi bacaan PM2.5 sejam tidak melebihi 200.

Bagaimanapun, perlawanan perlu dihentikan sementara atau ditangguhkan sekiranya bacaan melepasi paras tersebut.

FAS menyatakan protokol itu dibangunkan dengan kerjasama Sport Singapore bagi mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan pemain, pegawai perlawanan, kakitangan serta penonton.

BEBERAPA ACARA SUKAN DAN MASYARAKAT DIBATALKAN, DITANGGUHKAN

Selain perlawanan bola sepak, beberapa acara luar turut dibatalkan atau ditangguhkan akibat keadaan jerebu yang tidak menentu.

Acara larian Great Eastern Women's Run yang dijadualkan berlangsung pada 1 November dibatalkan atas kebimbangan terhadap kesihatan dan keselamatan peserta.

Acara tahunan yang menarik penyertaan ribuan pelari wanita itu tidak akan diadakan tahun ini.

ISCA Run 2026 yang dijadualkan berlangsung di Gardens by the Bay pada Sabtu (17 Okt) turut dibatalkan.

Penganjurnya, Institut Akauntan Bertauliah Singapura (ISCA), mengumumkan keputusan itu pada Khamis (15 Okt), dengan mengambil kira keselamatan hampir 3,000 peserta dan individu lain yang terlibat.

Sementara itu, acara tahunan The Purple Parade yang dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober ditangguhkan ke separuh pertama 2027.

Acara tersebut meraikan kebolehan dan sumbangan golongan kurang upaya serta menggalakkan keterangkuman dalam masyarakat Singapura.

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, dalam satu catatan Facebook menyifatkan penangguhan itu sebagai sesuatu yang mengecewakan, namun menegaskan bahawa kesihatan dan kesejahteraan orang ramai mesti diutamakan.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita