Skip to main content

Sukan

jelasBERITA: Siapakah pasukan pilihan & apakah antara ciri baharu Piala Dunia FIFA 2026?

Piala Dunia FIFA 2026 yang sangat dinanti-nantikan oleh seluruh dunia bakal dirasmikan pada 11 Jun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 11 Jun 2026 10:59PM Dikemas Kini : 14 Jul 2026 07:14PM
SINGAPURA: Piala Dunia FIFA 2026 yang sangat dinanti-nantikan oleh seluruh dunia bakal dirasmikan pada 11 Jun ini.

Kejohanan itu akan bermula 11 Jun dan berlangsung sehingga 19 Julai.

Edisi kali ini menampilkan banyak elemen baharu
termasuk menawarkan tiga acara pembukaan.

Ia juga akan menjadi edisi pertama Piala Dunia FIFA di mana tiga negara menjadi tuan rumah - iaitu Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada.

Amerika Syarikat menjadi tuan rumah bagi 78 perlawanan, sementara Kanada dan Mexico masing-masing menganjurkan 13 perlawanan.

Piala Dunia FIFA 2026 bakal menjadi edisi terbesar dalam sejarah,menampilkan 48 pasukan bola sepak, meningkat berbanding 32 dalam edisi sebelumnya.

Kesemuanya, terdapat sebanyak 104 perlawanan iaitu hampir seganda lebih banyak berbanding 64 perlawanan dalam musim lalu.

Bagaimana ia berlangsung?

Pertama, peringkat Kumpulan melibatkan kesemua 48 pasukan.

Kemudian empat pusingan penyingkiran sebelum peringkat akhir.

Berbeza daripada edisi lalu, kali ini pusingan kalah mati akan bermula di peringkat 32 pasukan terakhir,
disusuli dengan 16 pasukan terakhir, empat perlawanan suku akhir, dua perlawanan separuh akhir dan pertarungan akhir.

Bagaimanakah 32 pasukan itu dipilih?

Dua pasukan teratas dalam setiap Kumpulan akan layak secara automatik iaitu 24 pasukan.

Lagi lapan pasukan terbaik yang menduduki tempat ketiga dalam setiap kumpulan juga akan mara ke peringkat seterusnya.

Ini secara ketara mengubah dinamik daya persaingan peringkat kumpulan, sekali gus mengurangkan risiko di mana pasukan yang kuat tersingkir lebih awal.

Pada masa yang sama, ia memberi negara-negara baharu peluang yang realistik untuk mara ke fasa selanjutnya.

Lantaran itu, 32 pasukan mara ke peringkat kalah mati.

Perlawanan pertama berlangsung di Mexico pada 11 Jun di Estadio Azteca yang ikonik di Mexico City.

Menjadikannya stadium pertama dalam sejarah untuk menganjurkan perlawanan pembukaan bagi tiga Piala Dunia FIFA berbeza - 1970, 1986 dan 2026.

Mexico akan berentap dengan Afrika Selatan dalam perlawanan pembukaan.

Kemuncak Piala Dunia FIFA 2026 iaitu perlawanan akhir akan diadakan di stadium New Jersey di New York.

Stadium itu boleh menampung seramai 82,000 penonton.

Satu lagi fakta menarik ialah:

Setiap perlawanan dalam edisi kali ini akan diberi tempoh rehat untuk minum air selama 3 minit pada setiap separuh masa perlawanan iaitu pada minit ke-22.

Langkah baharu ini bertujuan untuk “mengutamakan kebajikan pemain” di tengah-tengah suhu yang dijangka tinggi.

Empat negara yang membuat kemunculan sulung dalam Piala Dunia FIFA ialah Cape Verde,Curaçao, Jordan dan Uzbekistan.

Curaçao mencipta sejarah apabila menjadi negara paling kecil di dunia yang layak menyertai Piala Dunia FIFA.

Siapakah Pasukan Pilihan?

Pasukan mana pula yang disebut-sebut sebagai pasukan 'favorite' kali ini.

Semestinya Argentina – juara dunia bertahan yang dipimpin Lionel Messi.

Messi dijangka membuat kemunculan terakhirnya bagi Piala Dunia FIFA setelah membawa Argentina menjulang piala tersebut pada 2022.

Kemudian Sepanyol – Pasukan dominan baharu Eropah setelah memenangi Euro 2024.

Sepanyol mahu merebut gelaran Piala Dunia FIFA pertamanya sejak 2010 dengan membariskan skuad yang muda dan berbakat.

Perancis – yang menyandang gelaran juara Piala Dunia FIFA pada 2018 - menduduki tempat kedua dalam edisi tahun 2022.

Perancis kekal sebagai antara pasukan terhandal dunia, dengan pasukan itu diterajui Kylian Mbappé.

England pula menaruh harapan untuk mengakhiri kemarau 60 tahun sejak menang Piala Dunia FIFA 1966.

Bagi Portugal — Semua perhatian tertumpu kepada Cristiano Ronaldo, yang akan mencatat rekod bermain dalam Piala Dunia keenam, pada usia 41 tahun.

Semestinya, setiap Piala Dunia FIFA ada jalan ceritanya yang tidak dapat diduga.

Kali ini format perlawanan yang diperluas juga bermakna terdapat lebih banyak peluang bagi pasukan-pasukan bukan pilihan untuk menempa sejarah.

Dan inilah yang mungkin menjadikan Piala Dunia 2026 cukup menarik dan mendebarkan.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita