Skip to main content

Sukan

jelasBERITA: Bagaimanakah La Masia antara akademi bola sepak paling unggul & berpengaruh berjaya lahirkan ramai bintang dunia?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Bagaimanakah La Masia antara akademi bola sepak paling unggul & berpengaruh berjaya lahirkan ramai bintang dunia?

Lionel Messi (kiri) dari Argentina dan Lamine Yamal dari Sepanyol bakal bertembung dalam perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026, yang juga pertemuan yang sarat dengan sejarah Barcelona dan La Masia. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 18 Jul 2026 08:28PM Dikemas Kini : 18 Jul 2026 09:52PM
SINGAPURA: Penyokong bola sepak di setiap pelusuk dunia menanti-nantikan dengan penuh debaran perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 yang dijangka sengit antara juara bertahan Argentina dengan juara Piala Dunia 2010 Sepanyol.

Namun di tengah-tengah demam perlawanan akhir itu, gambar bintang Argentina Lionel Messi yang memangku dan memandikan bintang muda Sepanyol Lamine Yamal semasa dia berusia lima bulan, terus menjadi tular, lapor BBC Sport.

Dengan ada yang menyifatkannya sebagai takdir bagi menemukan semula Messi dan Lamine Yamal selepas 19 tahun, persoalan lebih besar adalah siapakah yang bakal menjadi juara kejohanan kali ini.
Namun, di sebalik perbezaan usia, generasi dan kehebatan kedua-dua pemain itu, Messi dan Lamine Yamal sebenarnya mempunyai persamaan - mereka masing-masing dipupuk seawal 13 tahun dan tujuh tahun di akademi belia La Masia, yang berjaya melahirkan ramai pemain bertaraf dunia.

APA ITU 'LA MASIA'?

La Masia ialah akademi remaja FC Barcelona yang terkenal sebagai antara sistem pembangunan pemain bola sepak terbaik di dunia.

Menurut laman FC Barcelona, akademi yang ditubuhkan pada 1979 itu bukan sahaja melatih kemahiran teknikal pemain muda, malah membentuk perkembangan akademik, peribadi dan sosial mereka berasaskan falsafah bola sepak Barcelona.
Related article image
Akademi belia La Masia di bawah naungan FC Barcelona. (Gambar: Laman FC Barcelona)
Selain Messi dan Lamine Yamal, La Masia juga telah melahirkan ramai pemain bertaraf dunia sebelum ini termasuk Xavi Hernandez dan
Andres Iniesta.

Akademi tersebut turut mencipta sejarah pada 2010 apabila tiga finalis Ballon d'Or - Messi, Iniesta dan Xavi - semuanya merupakan graduan La Masia, menjadikannya akademi pertama yang melahirkan ketiga-tiga finalis anugerah tersebut.

Tahun 2010 juga menjadi detik gemilang buat La Masia apabila Sepanyol menjulang Piala Dunia FIFA dengan sembilan graduan akademi itu dalam skuadnya, iaitu Víctor Valdes, Carles Puyol, Gerard Pique, Sergio Busquets, Xavi, Iniesta, Cesc Fabregas, Pedro Rodríguez dan Pepe Reina.

9 PEMAIN LA MASIA BAKAL BERAKSI PADA PERLAWANAN AKHIR

Bagi edisi Piala Dunia FIFA 2026 pula, seramai sembilan graduan La Masia bakal beraksi dalam pentas perlawanan akhir di New York, dengan Sepanyol menyumbang lapan daripada mereka, manakala Argentina diwakili seorang pemain.

Mereka terdiri daripada Lionel Messi, Lamine Yamal, Gavi, Pau Cubarsi, Dani Olmo, Eric Garcia, Alejandro Grimaldo, Marc Cucurella dan Víctor Munoz.
Related article image
Antara para pemain yang dibentuk akademi belia La Masia, yang kini bermain dalam pasukan negara Sepanyol. (Gambar: Facebook/Barca staff)
Ia sekali lagi membuktikan keunggulan FC Barcelona melahirkan bakat bola sepak bertaraf dunia.

Messi juga dianggap antara pemain terbaik dalam sejarah FC Barcelona setelah meraih 35 trofi dan menjaringkan 672 gol selepas 21 tahun menyarung jersi pasukan itu.
Lamine Yamal kemudian mengikut jejak langkah Messi di FC Barcelona dan dilihat sebagai ikon global Barcelona seterusnya selepas Messi meninggalkan kelab tersebut untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) pada 2021, lapor Daily Star.

Lamine Yamal turut memikul harapan yang suatu ketika dahulu dipikul Messi, dengan rembatan kaki kirinya yang kencang dan hebat, lahir daripada La Masia dan kini memimpin Sepanyol ke final Piala Dunia FIFA pertama sejak 2010.

Justeru, ia bukan sekadar pertembungan dua pemain, tetapi seolah-olah satu generasi menyerahkan obor kepada generasi berikutnya.

SIAPA AKAN 'MENANG'?

Pada akhirnya, pingat juara Piala Dunia FIFA sekali lagi akan menjadi milik seorang graduan La Masia.

Sama ada ia dimenangi lapan pemain Sepanyol didikan La Masia mahupun Lionel Messi, kejayaan itu tetap menjadi satu lagi bukti kecemerlangan akademi belia FC Barcelona.

Apabila dunia menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026, dunia sebenarnya turut menyaksikan hasil didikan La Masia.
Related article image
Sebanyak 9 pemain yang beraksi dalam perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 merupakan didikan La Masia dan pernah mewakili FC Barcelona. (Gambar: Facebook/Lamasia Central)
Ini sekali gus menyerlahkan keupayaan FC Barcelona dalam melahirkan pemain bertaraf dunia, pendekatan menyeluruh yang diterapkan dalam sistem pembangunannya, kerelevanannya serta pengaruh besarnya dalam arena bola sepak dunia.

Apa jua keputusan perlawanan nanti pada pagi Isnin (20 Jul) waktu Singapura, pada akhirnya, La Masia boleh dianggap sebagai 'juara' sebenar.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita