Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

JDT juara Piala M'sia 2022; cipta rekod julang piala kali ke-3

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah tersendiri apabila meraih kejayaan ketiga buat julung kalinya selepas menjulang kejuaraan Piala Malaysia 2022 dengan mengalahkan Selangor FC 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu (26 Nov) malam.

Gelaran juara Piala Malaysia ketiga diraih JDT sejak penubuhannya pada 2013 menyaksikan skuad Harimau Selatan itu menyapu bersih trofi yang dipertandingkan tahun ini, susulan pencapaian memenangi saingan Piala FA dan Liga Super, selain meraih Piala Sumbangsih sebelum musim ini bermula.

Pada aksi di hadapan kira-kira 80,000 penyokong kedua-dua pasukan yang membentuk lautan merah-biru dan merah-kuning itu, dua gol penting skuad bimbingan Hector Bidoglio masing-masing dijaringkan gandingan penyerang import Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri.

Dua jaringan tersebut sudah cukup untuk menafikan jaringan pembukaan Selangor menerusi sepakan penalti disempurnakan Herlison Caion De Souza Ferreira selepas skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu menampilkan persembahan terpuji pada 45 minit pertama perlawanan.

Skuad Gergasi Merah yang beraksi di final Piala Malaysia pertama sejak 2016 jelas mendominasi separuh pertama dengan beberapa siri serangan berbahaya manakala JDT bergelut mencari rentak permainan apabila Selangor berjaya mematahkan hantaran pendek mereka di kawasan tengah.

Selangor ternyata bermula dengan cemerlang dan hampir mendahului seawal minit kedua tetapi gerakan serangan balas pantas pasukan gagal disudahkan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.

Akhirnya, Selangor berjaya memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti Caion pada minit ke-45 selepas Matthew Davies menjatuhkan penyerang import dari Brazil itu dalam kawasan berbahaya, namun JDT pantas menyamakan kedudukan hasil tandukan Bergson pada masa kecederaan separuh pertama.

Bersambung separuh kedua, JDT tampil berbeza dan lebih tersusun untuk menguasai permainan, menyaksikan barisan pemain Selangor terpaksa bekerja keras untuk mengekang setiap serangan berbahaya pasukan lawan.

Bagaimanapun, JDT berjaya meledak jaringan kemenangan pada minit ke-59 dengan Forestieri muncul wira pasukan selepas memanfaatkan bola muntah tampanan Mohd Khairulazhan Mohd Khalid dengan melepaskan rembatan lencong dari dalam kotak penalti untuk gol kedua.

Selangor yang tertekan membawa masuk dua penyerang gantian iaitu Ahmad Danial Ahmad Asri dan Muhamad Syahir Bashah dalam misi memburu gol penyamaan, namun disiplin bertahan dipamerkan JDT pada babak kedua berjaya menyukarkan gerakan pihak lawan.

Di penghujung perlawanan, percubaan berbahaya Ahmad Danial dari jarak dekat berjaya diselamatkan Mohd Farizal sementara Bergson terlepas peluang mencetak jaringan kedua peribadinya apabila rembatan padu dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar Mohd Khairulazhan.

Kejayaan semalam (26 Nov) menyaksikan JDT berjaya mengulangi pencapaian memenangi Piala Malaysia pada 2017 dan 2019 sekali gus mengubati kekecewaan kalah di pentas final musim lepas kepada Kuala Lumpur (KL) City FC.

Sementara itu, Selangor terus kempunan merangkul sebarang gelaran juara dalam tempoh tujuh tahun selepas kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2015.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan