Isu pakaian atlet patuh syariah: Tiada unsur paksaan
Isu mengenai pematuhan syariah dalam pemakaian atlet negeri Terengganu bukanlah suatu perkara yang baru untuk dipertikaikan, bahkan ia sudah dimulakan sejak Sukan Malaysia (SUKMA) 2008 lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.(Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Isu mengenai pematuhan syariah dalam pemakaian atlet negeri Terengganu bukanlah suatu perkara yang baru untuk dipertikaikan, bahkan ia sudah dimulakan sejak Sukan Malaysia (SUKMA) 2008 lagi.
Namun, kerajaan negeri Terengganu kali ini ingin melaksanakan dengan lebih meluas terutama untuk sukan-sukan berpasukan yang mendapat penerimaan yang baik daripada para peminat.
Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Malaysia (MSN) Ahmad Shapawi Ismail, sebelum ini, pendekatan itu sudah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Terengganu, antaranya dengan pengasingan penggunaan kolam renang antara lelaki dan wanita serta pematuhan pakaian.
“Saya bersetuju dengan pandangan Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abd Rahman) dan juga pandangan Timbalan Exco Belia dan Sukan Negeri supaya arahan atau pendekatan ini tidak dilihat sebagai satu paksaan yang mendadak.
“Sebaliknya lebih menjurus kepada penerusan usaha-usaha peningkatan penerapan kesedaran dalam kalangan atlet Muslim di Terengganu untuk mereka melakukan perubahan secara rela hati berkaitan kesesuaian pemakaian yang tidak akan menjejaskan prestasi mereka,” katanya.
USUL ATLET BERPAKAIAN PATUH SYARIAH DALAM KEGIATAN SEHARIAN
Pada Ahad (25 Nov), Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah dilaporkan sebagai berkata, langkah itu selaras dengan dasar kerajaan negeri yang meletakkan Islam sebagai tunggak pentadbiran utama, termasuk sukan.
Beliau berkata, sebagai permulaan, semua pemain bola sepak beragama Islam di bawah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dikehendaki memakai pakaian patuh syariah dalam semua kejohanan, sama ada di dalam atau luar negeri.
Sementara itu, Encik Ahmad Shapawi juga berpendapat amalan pemakaian menutup aurat itu tidak terhenti di saat bergelar atlet sahaja tetapi perlulah menjadikannya sebagai amalan harian.
“Sebaik mungkin, amalan tersebut bukan sahaja untuk pertandingan malahan dijadikan amalan harian latihan masing-masing.
“Pemakaian yang sesuai juga perlu bagi mengelakkan risiko kecederaan sekiranya mereka menggunakan pakaian yang akan menghalang pergerakan permainan mereka nanti,” katanya.
BUKAN BAGI ATLET BUKAN MUSLIM
Dalam pada itu, beliau juga menyambut baik pendirian kerajaan negeri Terengganu bahawa kewajipan pematuhan syariah itu bukanlah bagi atlet bukan Muslim atau atlet negeri lain yang bertanding di negeri itu.
“Bagi sukan-sukan lain yang tradisi dan peraturan pertandingan antarabangsa yang jenis pakaian pertandingannya tidak menutup aurat seperti sukan gimnastik, gimrama, terjun dan renang juga tidak menjadi sebahagian daripada kewajipan pematuhan oleh kerajaan negeri,” katanya.
Justeru, menurut beliau, pendekatan peningkatan kesedaran seperti yang dilaksanakan sebelum ini adalah permulaan awal dan kini hanya diikuti dengan penekanan yang lebih sedikit kepada penerapan pematuhan syariah Islam.
“Ia bukan sahaja dari segi pemakaian malahan turut melibatkan aspek-aspek lain seperti tingkah laku, emosi, rohani dan sikap seharian atlet-atlet muda kita,” katanya.
Sebelum ini Syed Saddiq mengusulkan semua pihak menghormati pemilihan pakaian sukan atlet.
Menentukan pakaian yang harus dikenakan oleh para atlit adalah perkara membimbangkan kerana masa depan sukan seperti gimnastik, renang, dan bina badan akan terjejas, katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.