Skip to main content

Sukan

ISTAF tunda pemansuhan servis 'terbang', tubuh jawatankuasa khas dan kekalkan identiti gelanggang  

Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) mengambil langkah berhati-hati dengan tidak terburu-buru dalam melaksanakan pemansuhan kesalahan servis 'terbang', iaitu apabila tekong melonjak atau mengangkat kedua-dua kakinya semasa melakukan servis dari dalam bulatan di tengah gelanggang.

Anggaran Waktu Membaca:
ISTAF tunda pemansuhan servis 'terbang', tubuh jawatankuasa khas dan kekalkan identiti gelanggang   

ISTAF tunda pemansuhan servis 'terbang'. (Gambar hiasan: Bernama)

HATYAI, Songkhla: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) mengambil langkah berhati-hati dengan tidak terburu-buru dalam melaksanakan pemansuhan kesalahan servis 'terbang', iaitu apabila tekong melonjak atau mengangkat kedua-dua kakinya semasa melakukan servis dari dalam bulatan di tengah gelanggang.

Sebaliknya, Majlis ISTAF yang bermesyuarat di Hatyai, Songkhla pada Sabtu (26 Jul) memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Khas bagi memperhalusi cadangan pindaan terhadap Fasal 11.1.4 Undang-Undang Permainan Sepaktakraw, menurut kenyataan media ISTAF.  

Keputusan itu dibuat berdasarkan saranan dan maklum balas dari negara-negara anggota ISTAF, serta pandangan bernas daripada Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Mohd. Sumali Reduan, dan Penolong Setiausaha Agung ISTAF dari India, Yogender Singh Dahiya.

Jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan bersama oleh Taufiq Halim (Timbalan Setiausaha Agung ISTAF) dan Profesor Chalerm Chaiwatcharaporn (Bendahari ISTAF).  

Menurut Setiausaha Agung ISTAF, Abdul Halim Kader, segala hasil dapatan jawatankuasa tersebut akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pengadil ISTAF sebelum dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif (Exco) untuk sokongan dan kelulusan terakhir bagi sebarang pindaan dikuatkuasakan, menurut kenyataan media ISTAF lagi.

Mesyuarat tersebut turut dipengerusikan oleh Abdul Halim bersama Pemangku Presiden ISTAF, Boonchai Lorhpipat.  

Dalam kenyataan tegasnya, Encik Halim memberi jaminan bahawa ISTAF tidak akan sesekali memansuhkan bulatan tengah gelanggang yang berukuran 13.4 meter x 6.1 meter.

Beliau menekankan bahawa bulatan tersebut sudah menjadi sebahagian daripada identiti permainan sejak temasya Sukan SEAP 1965 di Kuala Lumpur dan merupakan "warisan budaya dan kesenian sepaktakraw".  

"Cadangan ini bukan untuk memadamkan bulatan itu yang merupakan warisan budaya dan kesenian sepaktakraw. Undang-undang ini diasaskan oleh tokoh seperti Tan Sri Khir Johari dan Tan Sri Mohd. Yussof Latif. Kami kekal menghormati sejarahnya. Kalau dihapuskan, maka servis akan benar-benar jadi 'terbang'," tegas beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa servis mesti bermula dari dalam dan atas bulatan, di mana kaki yang menyepak wajib berada dalam kawasan tersebut sewaktu menyentuh bola.  

Dalam perkembangan lain, Encik Abdul Halim Kader turut membayangkan bahawa sebanyak 16 negara bakal diundang menyertai Piala Dunia ISTAF 2026 (kategori lelaki dan wanita) yang dijadual berlangsung pada Mei 2026 di Arena Axiata, Kuala Lumpur.

Pembahagian kepada Divisyen Perdana dan Divisyen Satu masih dalam pertimbangan, dengan pihak tuan rumah, PSM, diberi mandat penuh untuk meneliti dan memutuskan butiran teknikal termasuk bilangan acara yang akan dipertandingkan.  

Sebagai perbandingan, edisi Piala Dunia ISTAF 2024 yang hanya menampilkan kategori lelaki sudah berlangsung di Stadium Titiwangsa, dengan penyertaan 12 negara bagi Divisyen Perdana dan sembilan negara dalam Divisyen Satu.
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita