Skip to main content

Sukan

ISTAF laksana sistem kiraan 15 mata pada 1 Feb 2024

Anggaran Waktu Membaca:
ISTAF laksana sistem kiraan 15 mata pada 1 Feb 2024

(Gambar hiasan: AFP/Ed Jones)

Diterbitkan : 12 Dec 2023 09:00AM Dikemas Kini : 12 Dec 2023 09:25AM
KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menerima cadangan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) supaya setiap regu hanya memperoleh satu servis berbanding tiga kali sekarang.

Setiausaha Agung ISTAF Abdul Halim Kader berkata cadangan PSM itu diterima sebulat suara dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ISTAF yang berlangsung pada 8 Dis lalu.

"Perubahan servis ini dilhat akan memeriahkan lagi persembahan setiap permainan dan sekali gus memberi semangat persaingan yang hebat dalam kalangan pemain dan pasti akan mengubah corak dan persembahan bagi setiap regu dalam pertandingan," katanya dalam kenyataan ISTAF pada Isnin (11 Dis).

Pada masa yang sama, beliau berkata mesyuarat telah memutuskan sistem kiraan 15 mata bagi semua kejohanan peringkat domestik dan antarabangsa akan dikuatkuasakan bermula 1 Feb tahun depan, berbanding 2 Feb seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Katanya lagi, menerusi sistem kiraan 15 mata, sekiranya pasukan terikat 14-14, maka satu daripada regu yang meraih mata ke-17 akan dikira sebagai pemenang.

"Kalau perlawanan berlanjutan ke set ketiga atau pusingan 'Tie-Break' maka kedua-dua regu hendaklah membuat pertukaran petak gelanggang apabila mana-mana regu mencapai mata kelapan dan meneruskan perlawanan ke mata penamat," katanya.

Encik Halim berkata sistem kiraan 15 mata yang dikembalikan semula ISTAF mampu menjimatkan tempoh perlawanan, prihatin dengan kebajikan pengadil dan menambah bilangan perlawanan dalam sehari.

Bernama difahamkan bahawa perubahan sistem kiraan mata itu adalah antara persediaan bagi sukan sepak takraw mendapat pengiktirafan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Dalam pada itu, Encik Halim berkata Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ISTAF turut membincangkan laporan daripada Jawatankuasa Teknikal ISTAF berhubung cadangan sistem kiraan 15 mata bagi penetapan pemberian mata dalam borang kiraan mata.

 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita