ISTAF jemput pengeluar bola sepak takraw hantar contoh bagi semakan piawaian

(Gambar: Abdul Halim Kader)
CHINA: Syarikat-syarikat pengeluar bola sepak takraw di serata dunia digalakkan untuk menghantar contoh bola sepak takraw keluaran mereka kepada pihak Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) untuk dianalisa.
Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), Abdul Halim Kader langkah itu akan memastikan bola-bola sepak takraw menepati piawaian yang telah ditetapkan ASTAF.
"Syarat tersebut mesti dipatuhi sekiranya berminat untuk dipertimbangkan sebagai bola rasmi untuk latihan dan pertandingan ASTAF," kata Encik Halim.
Menurut Encik Halim, sebuah jawatankuasa khas bakal dibentuk dan akan terdiri daripada perwakilan dari negara-negara anggota ISTAF untuk mempertimbangkan semua permohonan yang bakal diterima.
Satu mesyuarat bakal diadakan pada Rabu depan (4 Okt) bagi melaksanakan proses tersebut.
Sementara itu, Encik Abdul Halim yang kini berada Hangzhou, China untuk Sukan Asia ke-19 melahirkan rasa puas hati beliau dengan mutu kemudahan di arena sepak takraw di sana.
Encik Halim berkata: "Stadium berhawa dingin yang boleh menempatkan 3000 penonton ini selesa jika dibandingkan dengan temasya Sukan Asia yang sebelumnya."
"Para pegawai dan para pemain Muslim juga tidak mempunyai masalah untuk menunaikan amal ibadat kerana sebuah bilik solat disediakan di dalam stadium. Makanan halal juga disediakan secara bungkusan oleh pihak hotel dan dihantar ke tempat pertandingan," tambah beliau.
Seramai 60 orang pegawai teknikal antarabangsa telah dilantik oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) bagi membantu mengendalikan acara sepak takraw.
"Para pemain, jurulatih dan pengurus sama sekali tidak menjangkakan segala kemudahan pertandingan dan persekitaran dalam stadium berada dalam keadaan menepati piawaian yang begitu tinggi," ujar Encik Halim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.