IOC tidak siasat Infantino berhubung tuduhan babitkan Trump
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) tidak akan menyiasat tuduhan bahawa Presiden FIFA Gianni Infantino melanggar peraturan Olimpik berhubung prinsip berkecuali dalam politik menerusi hubungannya dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, lapor PA Media/dpa.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden FIFA, Gianni Infantino ketika hadir pada majlis penyampaian trofi selepas perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Sepanyol dan Argentina di Stadium New York/New Jersey, East Rutherford, New Jersey, Amerika Syarikat, pada 19 Julai 2026. (Gambar fail: REUTERS)
Kumpulan hak asasi manusia FairSquare pada awal bulan ini mengumumkan bahawa pihaknya mengemukakan aduan kepada IOC berhubung Encik Infantino, termasuk keputusan FIFA menangguhkan penggantungan pemain penyerang Amerika Syarikat Folarin Balogun daripada satu perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 selepas Encik Trump secara peribadi meminta Encik Infantino untuk menyemak semula kad merah yang diterimanya.
Encik Infantino merupakan anggota IOC, namun jurucakap badan itu berkata suruhanjaya etika memutuskan bahawa IOC tidak mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan kerana aduan berkenaan tertumpu kepada keputusan dan tadbir urus FIFA.
“Suruhanjaya Etika IOC telah meneliti aduan FairSquare secara menyeluruh.
“Suruhanjaya mendapati berdasarkan Piagam Olimpik, setiap persekutuan antarabangsa (IF) mengekalkan kebebasan dan autonomi dalam tadbir urus masing-masing.
"Skop pemakaian Kod Etika IOC terhadap persekutuan antarabangsa serta pegawainya secara khusus terhad kepada hubungan mereka dengan IOC.
“Suruhanjaya Etika IOC mendapati aduan semasa, termasuk yang berkaitan dengan Presiden FIFA, hanya merujuk kepada keputusan IF mengenai tadbir urus dan pengurusannya, termasuk hubungan dengan pemerintah, serta pelaksanaan peraturan sukan oleh IF, yang kedua-duanya berada di luar skop Kod Etika IOC.
“Sehubungan itu, aduan berkenaan berada di luar bidang kuasa Suruhanjaya Etika IOC. FairSquare telah dimaklumkan mengenai perkara itu.
“Secara berasingan daripada aduan ini, seperti ditegaskan pada Sidang IOC baru-baru ini, IOC akan meneruskan usaha memperkukuh tadbir urus baik di seluruh Pergerakan Olimpik serta meningkatkan kejelasan mengenai peranan, tanggungjawab dan kebertanggungjawaban setiap organisasi di bawahnya,” menurut jurucakap itu.
Sementara itu, FairSquare menyifatkan keputusan itu sebagai “tidak masuk akal”.
“Komitmen IOC terhadap prinsip berkecuali dalam politik sama ketat dengan FIFA.
"Perkara ini hanya akan menguatkan lagi desakan supaya badan pentadbir sukan dikawal selia secara menyeluruh kerana mereka jelas tidak berupaya menguatkuasakan peraturan sendiri secara konsisten dan saksama,” menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan.
FairSquare secara berasingan turut mengemukakan aduan terhadap Encik Infantino kepada kamar siasatan Jawatankuasa Etika FIFA pada Disember lalu.
Aduan itu menyentuh empat kejadian yang dikatakan menunjukkan Encik Infantino secara terbuka menyokong tindakan dan dasar Encik Trump.
FairSquare turut meminta Jawatankuasa Etika FIFA menyiasat peranan Encik Infantino dalam keputusan memperkenalkan Anugerah Keamanan FIFA dan menganugerahkannya kepada Encik Trump pada majlis undian Piala Dunia FIFA 2026, selain meneliti sama ada proses berkenaan mematuhi peraturan tatacara FIFA.
FairSquare menyatakan awal bulan ini bahawa pihaknya sudah menerima pengesahan penerimaan aduan daripada Jawatankuasa Etika FIFA, namun tidak menerima sebarang maklumat lanjut sejak itu.
Aduan berkenaan dikemukakan sebelum tercetus kontroversi membabitkan Balogun.
Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada 5 Julai mengumumkan bahawa penggantungan automatik satu perlawanan terhadap penyerang Monaco itu ditangguhkan.
Encik Trump pada hari berikutnya mendedahkan bahawa beliau secara peribadi meminta Encik Infantino untuk menyemak semula keputusan berkenaan.
Encik Infantino menegaskan bahawa jawatankuasa FIFA bertindak secara bebas, namun Jawatankuasa Tatatertib tidak memberikan penjelasan berhubung keadaan khusus yang mendorong penangguhan hukuman itu.
The Times melaporkan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA Mohammad Al Kamali membuat keputusan berkenaan secara bersendirian.
Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dalam satu kenyataan menyifatkan keputusan berkaitan Balogun sebagai “belum pernah berlaku, sukar difahami dan tidak dapat dipertahankan”.
Presidennya Aleksander Ceferin difahamkan tidak menghadiri perlawanan akhir Ahad lalu sebagai tanda bantahan terhadap isu itu serta beberapa kebimbangan lain mengenai tadbir urus FIFA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.