IOC puas hati dengan persiapan Olimpik Musim Sejuk Beijing
China sudah bersiap sedia menyambut kedatangan atlit dari seluruh dunia yang akan menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

(Gambar: Bernama)
BEIJING: China sudah bersiap sedia menyambut kedatangan atlit dari seluruh dunia yang akan menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.
Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach berkata demikian dalam perutusan tahniahnya kepada Presiden Kumpulan Media China (CMG), Shen Haixiong, sempena pengiraan detik setahun menjelang temasya sukan itu.
"Pelbagai kerja persiapan dari segi teknikal yang dilakukan China amat memuaskan. Biarpun berdepan cabaran ekoran penularan COVID-19, kami (IOC) yakin China sudah bersiap sedia," katanya.
Sementara itu Encik Bach berkata dalam perbualan telefon dengan Presiden Xi Jinping selepas meninjau gelanggang dan stadium baru-baru ini, Presiden China itu menyuarakan keyakinannya terhadap penganjuran Olimpik 2022 yang dijangka akan berlangsung dengan jayanya, di samping menegaskan sokongan terhadap temasya berprestij itu.
Mengulas mengenai persiapan Sukan Olimpik Tokyo pula, menurut Encik Bach, dengan usaha bersama pelbagai pihak, temasya itu diyakini dapat dirasmikan pada 23 Julai nanti, disusuli Sukan Paralimpik pada 24 Ogos.
Katanya lagi, tiada alasan untuk meragui perkara itu dan persoalannya sekarang adalah bagaimana untuk menganjurkan temasya tersebut.
Beliau turut memberikan penghargaan terhadap sokongan masyarakat antarabangsa kepada kedua-dua sukan Olimpik tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.