Skip to main content

Sukan

Infantino terbuka bincang semak rangka kerja tadbir urus FIFA

Anggaran Waktu Membaca:
 Infantino terbuka bincang semak rangka kerja tadbir urus FIFA

Presiden FIFA Gianni Infantino. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 22 Sep 2026 06:45AM Dikemas Kini : 22 Sep 2026 06:48AM
Infantino open to discussing a review of FIFA governance framework
  • Gianni Infantino proposed an independent review of FIFA's governance after plans for private investment in the body's commercial rights were withdrawn.
  • He wants the FIFA Council to assess the appointment of external parties and hold consultations with confederations, members and stakeholders.
  • Controversy erupted after a proposal to sell a 20 per cent commercial stake, which he said was intended to increase funding for football development, faced opposition.
  • Ahead of the presidential election in Rabat in March, Infantino was still said to have enough support, while opponents want to limit his powers.
Dijana oleh AI

PARIS: Presiden FIFA Gianni Infantino mencadangkan supaya satu semakan bebas dilakukan terhadap proses membuat keputusan badan induk bola sepak dunia itu. 

Langkah tersebut dilihat berpotensi membantunya mendapatkan semula sokongan selepas rancangan kontroversi untuk membawa masuk pelaburan swasta ditarik balik.

“Pertama, saya akan meminta Majlis FIFA menimbangkan sama ada mahu melantik pihak luar yang bebas untuk menyemak rangka kerja tadbir urus FIFA ketika ini bagi inisiatif strategik utama, serta mencadangkan penambahbaikan yang mungkin diperlukan,” tulis Infantino dalam sepucuk surat kepada Majlis FIFA dan presiden kesemua 211 anggota. Surat itu dilihat oleh Reuters.

Infantino turut berkata beliau akan mencadangkan rundingan dengan konfederasi, anggota FIFA dan pihak berkepentingan lain mengenai cara-cara untuk memperkukuh proses membuat keputusan FIFA.

Cadangan itu akan meneliti siapa yang sepatutnya terlibat dalam membuat keputusan mengenai inisiatif besar FIFA. Ini termasuk peranan masing-masing yang dimainkan oleh presiden, Biro, Majlis dan Kongres FIFA, serta bagaimana ketelusan dan kebertanggungjawaban boleh dipertingkatkan.

Infantino sebelum ini menerima kritikan hebat berhubung cadangannya untuk menjual 20 peratus kepentingan dalam hak komersial FIFA, termasuk berkaitan Piala Dunia, kepada pelabur swasta.

Rancangan itu akhirnya dibatalkan pada Julai selepas mendapat tentangan serta ancaman boikot. Selepas itu, UEFA, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan CONCACAF turut menggesa perubahan dibuat terhadap kepimpinan FIFA.

Pihak yang menentang Infantino pula berdepan kesukaran mencari calon untuk mencabarnya. Infantino akan bertanding semula dalam pemilihan presiden FIFA pada Mac di Rabat.

Sumber yang mengetahui perbincangan tersebut memberitahu Reuters bulan ini bahawa Infantino masih mempunyai sokongan undi yang mencukupi untuk menang. Keadaan itu menyebabkan pihak yang menentangnya memberi tumpuan kepada usaha mengehadkan bidang kuasanya.

Menurut Infantino, rancangan yang kini sudah dibatalkan itu pada asalnya bertujuan untuk mengkaji sama ada penjualan pegangan minoriti dalam sebuah syarikat komersial yang dikawal FIFA boleh menjana lebih banyak dana untuk pembangunan bola sepak.

Beliau menegaskan rancangan itu tidak melibatkan penyerahan kawalan terhadap keputusan berkaitan aspek sukan.

Bagaimanapun, menurut Infantino, cadangan tersebut diketahui umum sebelum ia sempat dibentangkan sepenuhnya kepada Majlis FIFA dan para anggotanya.

“Saya mengakui bahawa tanpa penjelasan dan konteks yang lengkap, perkara ini telah menimbulkan kebimbangan dan memberi gambaran seolah-olah keputusan sudah pun dibuat. Sebenarnya, keputusan itu belum dibuat,” katanya dalam surat yang dihantar pada Isnin.

“Ia kekal sebagai satu cadangan, bukannya keputusan, dan sejak awal lagi tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan daripada Majlis dan para anggota. Cadangan itu telah ditarik balik dan tidak akan diteruskan.”

Infantino berkata beliau menerima pelbagai pandangan mengenai siapa yang sepatutnya membuat keputusan dalam perkara strategik utama FIFA.

Ada pihak berpendapat keputusan sedemikian perlu mendapat persetujuan sebulat suara daripada Biro FIFA, manakala pihak lain mahu perkara tersebut dibawa terus kepada Kongres dan persatuan anggota.

“Peranan saya bukan untuk menentukan terlebih dahulu hasil perbincangan itu. Mereka yang menyokong sesuatu model perlu diberi peluang untuk menjelaskan pendirian dan hujah masing-masing dengan jelas,” tulisnya.

Cadangan yang diterima sebelum mesyuarat Majlis FIFA pada 15 Oktober boleh dibincangkan dalam mesyuarat tersebut. Cadangan yang dihantar selepas itu juga masih boleh dipertimbangkan dalam tempoh yang akan ditetapkan kemudian.

Sebarang perubahan pada statut atau peraturan asas FIFA perlu mendapat kelulusan Kongres FIFA.

Infantino turut memberi jaminan bahawa pendirian mana-mana persatuan anggota terhadap sesuatu cadangan atau isu tadbir urus tidak akan mempengaruhi layanan yang mereka terima daripada FIFA.

Program pembangunan dan solidariti FIFA juga akan diteruskan mengikut peraturan sedia ada.

“Layanan terhadap mana-mana persatuan tidak akan bergantung kepada pendiriannya mengenai sesuatu cadangan atau perkara berkaitan institusi,” katanya.

“Saya komited sepenuhnya untuk memimpin FIFA dan yakin dengan apa yang boleh kita capai bersama.”

Sumber : Reuters/nk/NK
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita