Infantino hilang keyakinan UEFA susuli kontroversi pelan pelaburan Piala Dunia
Presiden FIFA Gianni Infantino ketika bertemu media di sidang penutup Piala Dunia FIFA 2022 di Doha, Qatar pada Jumaat, 16 Dis 2022. (Gambar Fail: AP /Martin Meissner)
Badan pentadbir bola sepak Eropah, UEFA mengetuai bantahan terhadap rancangan itu dengan mengancam untuk memboikot semua pertandingan FIFA sekiranya ia diteruskan.
Walaupun mengalu-alukan tindakan untuk menarik balik cadangan itu, UEFA turut mendedahkan bahawa Infantino telah kehilangan "keyakinan" mereka dan anggota keluarga bola sepak lain menerusi "urusan yang tidak telus dan dibuat secara tertutup".
Badan pentadbir bola sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean, CONCACAF, menggesa supaya dijalankan "penilaian menyeluruh terhadap kepimpinan Presiden FIFA" sambil mengkritik "tadbir urus dan kepimpinan yang lemah" oleh Infantino.
Reaksi tersebut menyusuli kenyataan Infantino beberapa jam sebelum itu yang mengumumkan penarikan balik cadangan berkenaan selepas menerima bantahan hebat sejak ia diumumkan pada Selasa (28 Jul).
"Tujuan kami sentiasa - dan akan terus - menyatukan dan meningkatkan bola sepak," tegas Infantino, yang berharap dipilih semula tahun depan bagi penggal terakhir, dalam satu kenyataan.
"Sehubungan itu, cadangan ini tidak akan diteruskan."
FIFA pada Selasa lalu mencadangkan pelan itu dengan menyatakan ia berupaya mengumpulkan sehingga AS$4.2 bilion (S$5.38 bilion) berdasarkan penilaian AS$20 bilion (S$25.64 bilion) bagi sebuah anak syarikat komersil baharu, FIFA Forward Enterprise (FFE), yang dicadangkan untuk mengendalikan acara-acara seperti Piala Dunia dan Piala Dunia Kelab.
Menurut FIFA, jika diluluskan, projek itu boleh memberikan bayaran sekali sahaja sebanyak AS$20 juta (S$25.64 juta) kepada setiap daripada 211 persatuan anggota FIFA pada awal 2027, selain meningkatkan peruntukan pembiayaan bagi kitaran 2027 hingga 2030 daripada AS$8 juta (S$10.25 juta) kepada AS$20 juta (S$25.64 juta).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.