Skip to main content

Sukan

Infantino didakwa cari sokongan Trump selepas pelan jual kepentingan komersial FIFA gagal

Anggaran Waktu Membaca:
Infantino didakwa cari sokongan Trump selepas pelan jual kepentingan komersial FIFA gagal

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bersama Presiden FIFA Gianni Infantino semasa penyampaian trofi selepas final Piala Dunia FIFA 2026 antara Sepanyol dengan Argentina di Stadium New York/New Jersey pada 19 Julai 2026. (Gambar fail: Reuters/Dylan Martinez)

Diterbitkan : 03 Aug 2026 10:33PM
NEW YORK: Presiden FIFA Gianni Infantino dilaporkan cuba mendapatkan sokongan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sedang beliau berdepan kritikan yang semakin meningkat selepas membatalkan rancangan menjual kepentingan dalam hak komersial Piala Dunia.

New York Post pada Isnin (3 Ogos) melaporkan, dengan memetik sumber yang mengetahui perkara itu, bahawa Encik Infantino berulang kali cuba menghubungi Presiden Trump melalui telefon sejak rancangan tersebut gagal pada Jumaat (31 Jul).

Namun, usaha beliau untuk menghubungi Presiden Trump dilaporkan tidak berjaya.

Menurut laporan itu, Presiden FIFA tersebut berasa "terasing" menyusuli liputan negatif meluas mengenai rancangan berkenaan.

New York Post turut melaporkan Encik Infantino menjadualkan perbincangan tertutup dengan Setiausaha Negara Amerika Marco Rubio.

Dua sumber yang mengetahui perkara itu dilaporkan mengesahkan bahawa Encik Infantino akan mengadakan panggilan dengan diplomat tertinggi Amerika tersebut.

FIFA belum memberikan komen, manakala Rumah Putih tidak segera memberikan respons kepada permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.

PELAN DAPATKAN AS$4.2 BILION DIBATALKAN

Kritikan terhadap Encik Infantino meningkat menyusuli rancangan FIFA untuk memindahkan aset komersial badan induk bola sepak dunia itu kepada sebuah entiti baharu yang disokong para pelabur swasta.

FIFA merancang mendapatkan sehingga AS$4.2 bilion (S$5.38 bilion) menerusi pelaburan swasta dengan menjual sekitar 20 peratus kepentingan dalam entiti baharu yang akan mengendalikan hak komersial pertandingan termasuk Piala Dunia.

Namun, rancangan itu dibatalkan pada Jumaat (31 Jul) selepas mendapat tentangan hebat daripada pihak berkepentingan.

Selepas rancangan tersebut dibatalkan, perhatian kini tertumpu kepada kemungkinan kesannya terhadap kedudukan Encik Infantino.

Encik Infantino, 56 tahun, dijangka berusaha merebut satu lagi penggal sebagai Presiden FIFA dari 2027 hingga 2031.

Usaha beliau untuk merebut penggal baharu itu kini berdepan penelitian lebih ketat menyusuli kegagalan rancangan FIFA tersebut.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita