Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Indonesia umum rancangan bida Sukan Olimpik 2032

Indonesia mengumumkan rancangan mengejut pada Sabtu (1 Sep) untuk membuat bidaan bagi menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2032 menyusuli kejayaannya menganjurkan Sukan Asia.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia umum rancangan bida Sukan Olimpik 2032

Obor Sukan Asia ke-18 dinyalakan di Jakarta (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 02 Sep 2018 04:06PM Dikemas Kini : 02 Sep 2018 04:08PM

JAKARTA: Indonesia mengumumkan rancangan mengejut pada Sabtu (1 Sep) untuk membuat bidaan bagi menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2032 menyusuli kejayaannya menganjurkan Sukan Asia.

Presiden Joko Widodo mendedahkan rancangan itu selepas mengadakan rundingan dengan ketua Olimpik Thomas Bach dan Ketua Majlis Olimpik Asia, Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah.

"Indonesia merancang untuk langsung mendaftarkan diri sebagai calon tuan rumah bagi sukan Olimpik 2032," kata Presiden Widodo selepas perbincangan dengan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Thomas Bach dan ketua Majlis Olimpik Asia.

"Dengan pengalaman kami menganjurkan Sukan Asia ke-18, saya percaya Indonesia boleh menjadi tuan rumah bagi acara yang lebih besar," tambah Encik Widodo.

Encik Bach, yang dijangka menghadiri upacara penutup Ahad ini, mengalu-alukan pengumuman itu dan berkata Sukan Asia anjuran Indonesia itu "sangat mengagumkan".

"Saya mengucapkan tahniah kepada presiden atas kejayaan cemerlang bagi Sukan Asia yang sangat mengagumkan," kata Bach.

"Lantaran itu IOC amat menghargai pencalonan Indonesia bagi Sukan Olimpik 2032," tambahnya.

Pengumuman Indonesia itu mencerminkan pengaruh dan sumber yang semakin meningkat dalam kalangan negara Asia, yang menganjurkan tiga Sukan Olimpik dalam tempoh empat tahun.

Selepas Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang tahun ini, Tokyo bakal menganjurkan Sukan Olimpik Musim Panas 2020 dan Beijing pula akan menjadi tuan rumah edisi musim sejuk pada 2022 - menjadi bandar pertama untuk menganjurkan kedua-dua Sukan Olimpik musim panas dan musim sejuk.

Bidaan bagi Sukan Olimpik 2032 masih dibuka selepas Tokyo disahkan sebagai tuan rumah pada 2020, Paris pula akan menjadi tuan rumah pada 2024 dan Los Angeles pada 2028.

Indonesia menjadi tuan rumah Sukan Asia pada saat-saat akhir. Dengan 17,000 atlit dan pegawai terlibat dalam temasya sukan tersebut, saiznya hampir sama dengan Olimpik.

Walaupun dengan tempoh hanya empat tahun untuk membuat persiapan, selepas tuan rumah asal Vietnam menarik diri atas sebab-sebab kewangan pada 2014, lokasi-lokasi sukan berjaya dibina tepat pada waktunya dan masalah yang timbul pula, bukanlah isu-isu besar.

Antara isu yang menjadi keprihatinan adalah penjualan tiket, masalah kesesakan jalan raya dan sesetengah atlit turut menyuarakan rasa kurang senang bertanding di ibu kota Jakarta dengan paras pencemaran udara yang tidak sihat.

Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, sebuah bandar pelabuhan di pulau Sumatera, menampilkan 40 jenis sukan - tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding edisi di Tokyo pada 2020, termasuk senarai sukan yang dipertandingkan di peringkat Olimpik.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan