Skip to main content

Sukan

‘Ia cukup istimewa’: Gan Ching Hwee pecah rekod kebangsaan 15 tahun di Kejohanan Akuatik Dunia

Beberapa hari selepas menyambut ulang tahunnya yang ke-22, perenang Singapura Gan Ching Hwee meraikan satu lagi pencapaian yang membanggakan apabila beliau memecahkan rekod kebangsaan yang sudah bertahan selama 15 tahun di tanah air sendiri dalam Kejohanan Akuatik Dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
‘Ia cukup istimewa’: Gan Ching Hwee pecah rekod kebangsaan 15 tahun di Kejohanan Akuatik Dunia

Perenang Singapura, Gan Ching Hwee. (Gambar fail: SNOC/Kong Chong Yew)

SINGAPURA: Beberapa hari selepas menyambut ulang tahunnya yang ke-22, perenang Singapura Gan Ching Hwee meraikan satu lagi pencapaian yang membanggakan apabila beliau memecahkan rekod kebangsaan yang sudah bertahan selama 15 tahun di tanah air sendiri dalam Kejohanan Akuatik Dunia.

Gan, yang kini memegang rekod kebangsaan bagi acara 800m dan 1500m gaya bebas, mencatatkan masa 4:09.81 dalam acara 400m gaya bebas wanita pada Ahad (27 Jul).

Catatan itu mengatasi rekod kebangsaan terdahulu 4:11.24 yang dipegang Lynette Lim sejak Sukan SEA Disember 2009.

Gan memasuki acara itu dengan masa kelayakan 4:12.31.

Beliau menamatkan perlumbaan di tempat pertama dalam pusingan kelayakan dan menduduki tempat ke-13 secara keseluruhan. Katie Ledecky dari Amerika Syarikat mendahului kesemua empat pusingan dengan masa 4:01.04.

“Saya benar-benar terkejut dan gembira kerana berjaya mencatat masa yang jauh lebih baik daripada rekod peribadi saya,” kata Gan kepada para wartawan.

“Selepas umur tertentu, masa terbaik saya hanya bertambah baik secara beransur-ansur.

“Terutamanya acara 400m, yang agak mencabar bagi saya. Saya rasa saya tidak pernah membuat lonjakan besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.”

Gan berprestasi cemerlang sejak kebelakangan ini.

Pada temasya Olimpik Paris tahun lalu, beliau mencatat dua rekod kebangsaan dalam acara 800m dan 1500m gaya bebas. Beliau merupakan perenang wanita pertama Singapura yang melakukannya di Sukan Olimpik sejak Tao Li dalam acara 100m kuak lentang pada 2012.

Gan akan bertanding dalam kedua-dua acara tersebut di kejohanan yang sedang berlangsung di Singapura dalam beberapa hari akan datang.

“Setiap perlumbaan, setiap kejohanan datang dengan persiapan yang berbeza, ada ceritanya tersendiri … Ia cukup istimewa apabila dapat dilakukan di hadapan penonton tempatan serta rakan dan keluarga saya,” katanya.

“Saya masih perlu beri tumpuan (kepada acara-acara seterusnya) … Kita akan terus berusaha.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita