Skip to main content

Sukan

Hotel SG tingkat persiapan jelang Kejohanan Akuatik Dunia

Menjelang lonjakan pelawat luar negara yang dijangkakan pada Julai ini, hotel-hotel di Singapura mengambil langkah seperti membawa masuk lebih ramai kakitangan sambilan dan mempertingkatkan menu masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
Hotel SG tingkat persiapan jelang Kejohanan Akuatik Dunia

Bahagian dalam Hotel Parkroyal Collection Marina Bay. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Menjelang lonjakan pelawat luar negara yang dijangkakan pada Julai ini, hotel-hotel di Singapura mengambil langkah seperti membawa masuk lebih ramai kakitangan sambilan dan mempertingkatkan menu masing-masing.

Kejohanan Akuatik Dunia pelbagai disiplin dan Kejohanan Masters Akuatik Dunia akan berlangsung kemudian, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-60 Singapura.

Acara sukan selama sebulan itu dijangka menarik kira-kira 40,000 pelawat antarabangsa, dengan pendapatan pelancongan diunjurkan mencecah S$60 juta.

Kejohanan Akuatik Dunia – yang menampilkan enam sukan renang, polo air, terjun cantik, renang artistik, renang air terbuka dan terjun tinggi – akan diadakan dari 11 Julai hingga 3 Ogos.

PASTIKAN ORANG RAMAI BERPUAS HATI

Hotel Parkroyal Collection Marina Bay, yang terletak di Raffles Boulevard, dijangka akan meraih penginapan penuh pada bulan Julai dan Ogos. Hotel mewah ini menawarkan hampir 600 bilik.

Pengurus besarnya Phil Smith berkata acara global seperti itu bermakna hotelnya perlu memastikan semua orang dapat membuat persiapan yang baik.

“Beberapa perkara yang kami sedang meneliti dan merancang, jelas sekali adalah penjagaan tambahan untuk membantu dengan jumlah ketibaan dan keberangkatan yang banyak, beberapa permintaan khas yang mungkin datang daripada begitu ramai tetamu antarabangsa yang menginap di hotel ini dan memastikan keselamatan kami dipertingkatkan,” katanya kepada Mediacorp.

Langkah-langkah lain termasuk membawa peralatan pengemasan tambahan dan kakitangan sambilan untuk membersihkan bilik dengan cepat, apabila tetamu keluar dan yang baharu tiba.

Hotel itu juga menambah hidangan pada menu sarapannya untuk memastikan jumlah tetamu yang ramai dan pelbagai sentiasa berpuas hati.

Encik Smith menyatakan bahawa Kejohanan Akuatik Dunia - yang kali terakhir diadakan di bandar Fukuoka di Jepun dua tahun lalu - "sangat unik" dan akan menarik pengunjung yang biasanya tidak berada di Singapura pada masa itu.

"Apabila menyentuh tentang meja tetamu, bagaimanakah kita memastikan kita mempunyai kakitangan untuk membantu menangani pelbagai bahasa?" menurut Encik Smith.

“Sesetengah orang ini yang datang dari seluruh dunia mungkin tidak berbahasa Inggeris dan kita perlu memastikan kita mempunyai kakitangan untuk membantu mereka.”
Kaunter tetamu hotel butik 21 Carpenter. (Gambar: CNA)
KEMAHIRAN KAKITANGAN HOTEL DIPERTINGKAT

Untuk hotel butik 21 Carpenter, yang terletak di Clarke Quay berhampiran dengan Sungai Singapura, ia telah menyaksikan lebih banyak tempahan untuk beberapa bulan akan datang, berbanding tempoh yang sama pada 2024.

"Saya akan mengatakan bahawa (ia adalah) peningkatan 7 hingga 8 peratus berbanding tahun lalu," kata pengurus besar hotel Tarun Kalra.

Mereka yang bertanya tentang penginapan di sana termasuk kakitangan dari badan sukan negara yang mengambil bahagian serta para penyokong, tambahnya.

"Kami meluangkan banyak masa untuk meningkatkan kemahiran kakitangan kami - memberikan mereka lebih banyak kemahiran untuk mengalu-alukan pelawat luar negara yang saya faham datang dari lebih 190 negara."

Pengurus pejabat tetamu hotel juga sedang dilatih untuk mengendalikan perkhidmatan makanan dan minuman. Semua ini akan mempunyai kesan untuk meningkatkan standard hotel di luar acara itu, kata Encik Kalra.

Singapura adalah negara Asia Tenggara pertama yang menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Akuatik Dunia, dengan pulau Sentosa dan Hab Sukan Singapura di Kallang menjadi lokasi utama pertandingan itu.

Beberapa acara akan berlangsung di kemudahan sementara di tempat letak kereta bersebelahan Leisure Park Kallang Mall. Pihak penganjur menyasarkan tarikh akhir untuk menyiapkan persiapan pada Mei ini.

Singapura dipilih sebagai tuan rumah pertandingan tersebut selepas acara dwitahunan itu dipindahkan dari bandar Kazan di Rusia sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Ukraine.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita