Skip to main content

Sukan

Hatrik Mbappe bantu Real Madrid benam Real Sociedad 4-1

Anggaran Waktu Membaca:
Hatrik Mbappe bantu Real Madrid benam Real Sociedad 4-1

Kylian Mbappe meraikan gol keduanya ketika Real Madrid menentang Real Sociedad di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid, pada 26 Ogos 2026. (Gambar: REUTERS/Juan Barbosa)

Diterbitkan : 27 Aug 2026 07:58AM
MADRID: Kylian Mbappe mencipta hatrik ketika Real Madrid membenam Real Sociedad 4-1 di Stadium Santiago Bernabeu pada Rabu (26 Ogos) dalam perlawanan pertama mereka di laman sendiri bagi musim LaLiga ini.

Mbappe membuka jaringan pada minit ke-40 sebelum Luka Sucic menyamakan kedudukan empat minit kemudian.

Penyerang Perancis itu kembali meletakkan Real di depan pada minit ke-60 sebelum Vinicius Jr menambah gol ketiga lapan minit kemudian.

Mbappe kemudian melengkapkan hatriknya pada minit ke-80 untuk memastikan kemenangan bergaya Real.

Kemenangan itu turut menandakan kepulangan Jose Mourinho ke Santiago Bernabeu dengan tiga mata, lebih 13 tahun selepas perlawanan terakhirnya di laman sendiri sebagai pengendali kelab tersebut.

Real bangkit daripada persembahan kurang meyakinkan pada separuh masa pertama dengan aksi lebih tajam selepas waktu rehat.

Malah, para pemain Real diejek penyokong sendiri sebelum separuh masa pertama berakhir selepas permulaan hambar, dengan pasukan itu bergelut mencari rentak, kerap kehilangan penguasaan bola dan terdedah kepada serangan balas.

"Selalunya ada kewajaran dalam ejekan dan tepukan, dan sekali-sekala diejek tidak memudaratkan sesiapa - ia membantu anda berkembang," kata Mourinho dalam sidang media.

"Kita semua tahu Santiago Bernabeu dan betapa tingginya tuntutan para penyokong di sana. Saya sangat gembira dengan cara para pemain saya bertindak balas di bawah tekanan dan mempamerkan separuh masa kedua yang hebat, malah kami mungkin boleh menjaringkan lebih banyak gol."

MBAPPE BUKA TIRAI JARINGAN

Real Sociedad tampil lebih berbahaya pada awal permainan dan hampir membuka jaringan pada minit ke-10 apabila Take Kubo memintas hantaran berhampiran kotak penalti sebelum mengumpan kepada Mikel Oyarzabal.

Namun, percubaan jarak dekat Oyarzabal berjaya dinafikan Thibaut Courtois.

Pasukan pelawat sekali lagi hampir menjaringkan gol pada minit ke-34 apabila voli Sergio Gomez tersasar tipis di sebelah tiang jauh.

Mbappe akhirnya mengubah rentak perlawanan lima minit sebelum waktu rehat.

Federico Valverde melakukan hantaran tepat yang membelah benteng Sociedad sebelum Mbappe membawa bola masuk ke dalam kotak penalti dan melepaskan rembatan ke penjuru atas gawang.

Namun, kelebihan Real hanya bertahan empat minit.

Ibrahima Konate, Dean Huijsen dan Alvaro Carreras gagal mengekang serangan selepas Job Ochieng mengejar hantaran jauh.

Percubaannya yang terbias jatuh kepada Sucic, yang melepaskan rembatan rendah menewaskan Courtois untuk menyamakan kedudukan 1-1.

REAL TAMPIL LEBIH TAJAM SELEPAS REHAT

Mourinho memasukkan Marc Cucurella pada separuh masa kedua dan Real tampil dengan aksi lebih bertenaga.

Mbappe kembali meletakkan Real di depan pada minit ke-60 selepas melakukan gerakan satu-dua bersama Jude Bellingham sebelum menewaskan Alex Remiro dengan rembatan rendah.

Lapan minit kemudian, tekanan Bellingham membolehkan Real merampas semula bola berhampiran garisan belakang sebelum pemain England itu membuat hantaran rendah kepada Vinicius.

Pemain Brazil tersebut mudah menyempurnakan peluang dari jarak dekat untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Mbappe melengkapkan hatriknya pada minit ke-80 selepas menerima hantaran Vinicius di belakang benteng Sociedad.

Pemain berusia 27 tahun itu tenang melambungkan bola melepasi Remiro untuk melengkapkan kemenangan 4-1 Real Madrid.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita