Skip to main content

Sukan

Hasrat Perry Ng sarung jersi pasukan SG kini 'lebih kuat berbanding sebelumnya'

Bola sepak Singapura kini dilanda gelombang keyakinan selepas ia melakar sejarah menerusi kelayakan ke Piala Asia AFC 2027 pada November 2025.

Anggaran Waktu Membaca:
Hasrat Perry Ng sarung jersi pasukan SG kini 'lebih kuat berbanding sebelumnya'

Antara kegiatan Perry Ng di Singapura ialah bermain bola sepak bersama kanak-kanak dan para belia. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 27 Jun 2026 09:01PM
SINGAPURA: Bola sepak Singapura kini dilanda gelombang keyakinan selepas ia melakar sejarah menerusi kelayakan ke Piala Asia AFC 2027 pada November 2025.

Menyaksikan kebangkitan pasukan Singapura dari jauh dengan rasa bangga – dan mungkin sedikit rasa cemburu – ialah seorang anak kelahiran Liverpool.

"Saya sangat seronok menyaksikan pasukan tersebut ... tetapi pada masa yang sama berasa kecewa kerana saya benar-benar mahu membantu mereka dan beraksi di hadapan para penyokong yang hebat di sini," kata pemain pertahanan Cardiff City, Perry Ng Tian Hee.

Pemain berusia 30 tahun yang dilahirkan di Liverpool itu memberitahu Mediacorp bahawa beliau tidak sabar untuk menyarung jersi negara tanah air datuknya yang berasal dari Singapura dan memainkan peranan bersama skuad Singa.

Ng memperoleh status Penduduk Tetap Singapura pada Mac 2025 dan sejak itu sudah memohon kewarganegaraan menerusi Skim Bakat Sukan Asing (FST).

"Keinginan saya (untuk beraksi bersama skuad Singa) lebih kuat berbanding sebelum ini. Saya hanya cuba untuk bersabar ... terus beraksi pada tahap tertinggi, kekal cergas, sihat dan bebas daripada kecederaan," katanya.

"Saya harap semuanya berjalan dengan lancar."

Pemain bola sepak profesional itu kerap menghabiskan cuti di luar musim di Singapura dan kini begitu mengenali negara ini sehingga sering menjadi pemandu pelancong kepada rakan-rakannya yang berkunjung ke Singapura.

Sepanjang sebulan lalu, Ng meluangkan masa bersama keluarganya di Singapura, mendekati masyarakat setempat dan menjadi sukarelawan bersama beberapa pertubuhan tempatan.

Antara kegiatan yang disertainya termasuk menjadi sukarelawan di Pertubuhan Orang Kurang Upaya Fizikal (SPD) dan Samaritans of Singapore. Beliau juga membantu Persatuan Barah Singapura mengendalikan program kesihatan dan kecergasan, selain meluangkan masa bermain bola sepak bersama kanak-kanak dan belia yang berisiko.

Ng berkata pengalaman tersebut mengeratkan lagi hubungannya dengan Singapura.

"Dapat kembali rapat dengan keluarga, meluangkan lebih banyak masa bersama mereka, serta bertemu ramai rakan dan orang lain," katanya. "Saya rasa masyarakat di sini sangat mesra dan hidup dalam suasana yang aman. Cara hidup dan budaya di sini sangat menenangkan, dan ia benar-benar tempat yang menggembirakan untuk didiami."

Satu-satunya perkara yang kurang disenanginya?

"Sudah tentu cuacanya agak mencabar pada masa-masa tertentu," katanya. "Tetapi saya lebih menikmatinya berbanding cuaca di Liverpool yang lazimnya berangin dan hujan."

KEMAJUAN SKUAD SINGA MENJADI INSPIRASI

Kata Ng, beliau memegang impian untuk mewakili Singapura sejak berusia 16 tahun dan mengikuti setiap langkah perjalanan pasukan negara menuju ke Piala Asia.

Beliau turut menghadiri perlawanan persahabatan Singapura menentang China awal bulan ini, dengan suasana di stadium tersebut meninggalkan kesan yang mendalam kepadanya.

"Saya meluangkan separuh masa kedua bersama SingaBrigade – ia cukup menakjubkan, mereka mengejutkan saya dengan semangat yang begitu tinggi," kata Ng, merujuk kepada kelab penyokong setia skuad Singa.

"Cuaca panas pada malam itu memang luar biasa. Saya sendiri hampir tidak tahan, tetapi mereka melompat-lompat sepanjang malam. Saya gembira dapat bersama mereka, mereka benar-benar membuat saya berasa seperti di rumah sendiri, dan ia satu pengalaman yang sangat baik."

Ng juga pernah berlatih bersama skuad Singa bagi sebuah kem latihan sebelum ini. Kata Ng, beliau mengagumi usaha ketua jurulatih Gavin Lee, yang membimbing pasukan tersebut melayakkan diri ke Piala Asia.

"Selepas menyaksikan perlawanan-perlawanan ketika mereka melayakkan diri, saya rasa mereka bermain dengan sangat luar biasa, dan (Lee) telah melakukan tugas yang sangat baik. Beliau memang layak menerima pujian itu. Saya benar-benar berharap dapat bekerjasama dengannya," kata Ng.

Singapura seterusnya akan beraksi dalam Kejohanan ASEAN pada Julai, dengan skuad Singa menentang Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Timor-Leste dalam Kumpulan A sebelum membuat penampilan di Piala Asia pada Januari.

Ng berharap beliau akhirnya dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan tersebut.

MEMIMPIN PEMBANGUNAN SEMULA CARDIFF

Namun sebelum itu, tumpuannya mesti dikembalikan kepada bola sepak kelab.

Ng baru-baru ini menandatangani kontrak baharu selama dua tahun bersama Cardiff City. Kelab itu akan beraksi dalam Liga Kejuaraan pada musim depan, satu divisyen di bawah Liga Perdana England, selepas dinaikkan dari Liga One.

Selepas menghabiskan lima musim bersama kelab Wales itu, selain dinobatkan sebagai pemain terbaik musim selama dua kali, Ng berkata pelantikan pengurus baharu Brian Barry-Murphy menjadi faktor utama beliau memilih untuk kekal dengan kelab tersebut.

"Cara beliau mengubah budaya kelab ini memang luar biasa," katanya. "Sebab itulah saya baru-baru ini menandatangani kontrak baharu. Saya tidak akan meninggalkan kelab ini untuk bermain di bawah pengurus lain kerana saya amat menghormatinya."

Dengan kehadiran ramai pemain muda dalam skuad tersebut, Ng percaya beliau kini memikul peranan yang penting sebagai seorang pemimpin.

"Selepas musim penyingkiran itu, saya rasa kami semua semakin matang dan belajar banyak perkara ... yang boleh kami manfaatkan musim ini. Saya rasa kami akan mengejutkan ramai pihak. Jadi, saya benar-benar teruja untuk kembali. Saya tidak sabar."

Ng percaya pengalaman yang ditimbanya dalam bola sepak England, antara sistem bola sepak paling kompetitif di dunia, mampu memberi manfaat kepada Singapura sekiranya beliau diberi peluang untuk mewakili skuad Singa.

Buat masa ini, beliau mahu memanfaatkan sepenuhnya masa di Singapura sebelum pulang ke Britain untuk menjalani latihan pramusim.

Di luar bola sepak, kerja-kerja sukarelawan dan perjumpaan bersama keluarga, jadualnya cukup ringkas.

"Saya hanya suka berjalan-jalan di sekitar negara ini untuk mencari perkara baharu dan lokasi makan yang baharu," katanya. "(Ada) begitu banyak tempat makan. Jadi, saya cuma bersantai, menikmati makanan yang enak."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita