Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Harris Harun sah sertai Lion City Sailors dan tinggalkan JDT

Johor Darul Ta’zim (JDT) sah melepaskan kaptennya, Hariss Harun, yang sudah bersama dengan pasukan itu sejak 2014.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 May 2021 10:49PM Dikemas Kini : 11 May 2021 12:44AM

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) sah melepaskan kaptennya, Hariss Harun, yang sudah bersama dengan pasukan itu sejak 2014.

Perkara itu diumumkan JDT menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi pasukan berkenaan, Johor Southern Tigers hari ini (10 Mei).

Menurut kenyataan itu, JDT dan Hariss bersetuju menamatkan kontrak kerana menghormati keputusan pemain berkenaan untuk kembali ke Singapura atas urusan keluarga berikutan pandemik COVID-19 menyukarkannya berulang-alik secara kerap ke tanah airnya.

Hariss kembali ke Singapura dengan menyarung jersi kelab Lion City Sailors dan akan menyertai pasukan Liga Perdana Singapura (SPL) selama tiga setengah tahun selepas berpindah dari pasukan JDT.

Yuran pemindahan tersebut bagaimanapun tidak didedahkan.

Menurut kenyataan JDT, Hariss, 30 tahun, menyertai skuad Harimau Selatan selepas menjulang gelaran Liga Super Malaysia bersama LionsXII dan kemudiannya memenangi tujuh lagi kejuaraan liga tersebut berturut-turut selain Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015 serta sembilan trofi domestik lain.

“Hariss telah melakukan 197 penampilan, bermain 15,367 minit, menjaringkan 12 gol, melakukan lima bantuan jaringan dan sering kali mempertahankan benteng pertahanan daripada bahagian tengah buat JDT.

"Hariss selayaknya digelar legenda JDT dan pintu di JDT sentiasa terbuka untuk apa jua khidmat beliau pada masa akan datang,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tercetus khabar angin bahawa Hariss akan meninggalkan JDT termasuk untuk melanjutkan pengajian di luar negara.

Sementara itu, pemilik kelab JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kenyataan berasingan menitipkan ucapan selamat maju jaya kepada pemain yang dianggap sebagai “tulang belakang” kepada pasukan itu selama ini.

“Beliau (Hariss) bersetuju untuk bersama-sama dengan kami ketika pasukan ini tidak mempunyai apa-apa. Tiada pusat latihan, tiada pengangkutan rasmi, tiada pejabat dan pelbagai lagi. Hari ini, JDT menjadi sangat berjaya dan Harris Harun menjadi bahagian yang penting dalam kelab ini,” kata beliau.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan