Harga tiket Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil diturunkan lagi
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) buat kali kedua menurunkan harga tiket bagi dua perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF 2022 melibatkan skuad kebangsaan menentang Laos dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur.
Presiden FAM Hamidin Mohd Amin berkata harga terkini tiket bagi setiap aksi itu ditetapkan RM30 (S$9.18) untuk tempat duduk terbuka, RM50 (S$15.30) (premium) dan RM60 (S$18.36) (grandstand), manakala tiket kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun berharga RM5 (S$1.53).
Sebelum ini, harga tiket asal RM50 (S$15.30) diturunkan kepada RM45 (S$13.77) bagi tempat duduk terbuka, RM70 (S$21.42) kepada RM60 (S$18.36) bagi tempat duduk premium dan RM100 (S$30.62) kepada RM70 (S$21.42) bagi tempat duduk grandstand, sementara tiket kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun berharga RM10 (S$3.06).
Menurut Encik Hamidin, langkah penurunan itu dibuat badan induk berkenaan selepas menerima pelbagai reaksi daripada penyokong Harimau Malaya yang masih mengharapkan penurunan harga lebih rendah.
“Bagi meneliti semula perkara ini, saya sekali lagi mengarahkan Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM dipengerusikan Naib Presiden FAM Posa Majais supaya mendapatkan solusi terbaik dalam memastikan situasi menang-menang dicapai antara FAM dan penyokong.
“Selepas pelbagai pandangan, penelitian dan perincian dibuat, Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM bersetuju dengan cadangan supaya harga tiket dikurangkan lagi bagi memastikan ia dapat diterima oleh semua penyokong,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu (14 Dis).
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh turut memohon FAM supaya menurunkan lagi harga tiket perlawanan Piala AFF 2022 untuk kategori terbuka selepas badan induk itu mengumumkan penurunan harga tiket buat kali pertama pada Selasa (13 Dis).
Menerusi ciapan di laman Twitter, Cik Yeoh berkata penurunan harga tiket itu mungkin boleh meningkatkan lagi kehadiran peminat ke stadium bagi menyaksikan aksi skuad Harimau Malaya.
Prihatin dengan keadaan ekonomi semasa yang masih tidak stabil serta majoriti penyokong bola sepak adalah daripada golongan B40, Encik Hamidin berharap pengurangan harga tiket itu mampu menggalakkan lagi kehadiran penyokong ke stadium.
Beliau berkata pihak Ticket Hotline akan memulakan proses pemulangan untuk amaun berlebihan bagi penyokong yang telah membeli tiket pada harga sebelum ini.
Skuad Harimau Malaya bakal memulakan kempen Kumpulan B Piala AFF menentang Myanmar di Yangon pada 21 Disember, diikuti aksi menentang Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember, Vietnam di Hanoi (27 Dis) dan menerima kunjungan Singapura di Bukit Jalil (3 Jan).
Skuad Harimau Malaya yang merangkul gelaran juara pada 2010, terkandas di peringkat kumpulan pada edisi lalu di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.