Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Harga tiket Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil diturunkan

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menurunkan harga tiket bagi dua aksi peringkat kumpulan Piala AFF 2022, melibatkan skuad Harimau Malaya menentang Laos dan Singapura, di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, dalam satu kenyataan pada Rabu (13 Dis), berkata harga terkini bagi setiap aksi itu adalah RM45 (S$13.69) bagi tempat duduk terbuka, RM60 (S$18.25) (premium) dan RM70 (S$21.30) (grandstand), manakala tiket kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun kekal pada harga RM10 (S$3.04). 

FAM sebelum ini mengumumkan harga bagi menyaksikan perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu adalah RM50 (S$15.21)bagi tempat duduk terbuka, RM70 (S$21.30) (premium) dan RM100 (S$30.42) (grandstand).

Encik Noor Azman berkata pihak Ticket Hotline akan memulakan proses pemulangan (refund) untuk jumlah berlebihan bagi penyokong yang telah membeli tiket pada harga asal.

“Atas rasa prihatin dan selepas mengambil kira keluhan penyokong Harimau Malaya serta mendengar pandangan daripada banyak pihak, FAM membuat keputusan untuk menurunkan harga tiket.

“Semoga penurunan harga tiket ini akan dapat mengurangkan sedikit beban penyokong untuk ke stadium bagi menyaksikan kedua-dua perlawanan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata Presisen FAM, Hamidin Mohd Amin, sentiasa prihatin mendengar keperluan penyokong dan sangat menghargai sokongan tidak berbelah bagi yang telah diberikan oleh penyokong setia Harimau Malaya yang sentiasa berada di belakang pasukan.

Tiket bagi kedua-dua perlawanan itu boleh dibeli secara dalam talian menerusi www.tickethotline.com.my.

Skuad Harimau Malaya bakal memulakan kempen Kumpulan B Piala AFF menentang Myanmar di Yangon pada 21 Dis, diikuti aksi menentang Laos di Bukit Jalil pada 24 Dis, Vietnam di Hanoi (27 Dis) dan menerima kunjungan Singapura di Bukit Jalil (3 Jan).

Skuad Harimau Malaya yang merangkul gelaran juara pada 2010, terkandas di peringkat kumpulan pada edisi lepas di Singapura.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan