Harga tiket perlawanan bola sepak SG di Piala Mitsubishi Electric bermula S$8: FAS
Para penyokong pasukan Singa boleh membeli tiket pada harga serendah S$8 untuk menyaksikan pasukan bola sepak negara beraksi dalam Piala Mitsubishi Electric, demikian menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Ahad (24 Nov).
Langkah itu sebahagian daripada struktur penjualan tiket yang dirombak menyusuli keluhan dari para penyokong mengenai harga tiket yang mahal.
Harga tiket dijual bermula daripada S$8 semasa tempoh jualan tempahan awal yang bermula pada pukul 12.00 tengah hari pada Isnin (25 Nov) hingga ke pukul 11.59 malam pada 1 Disember.
Semasa tempoh itu, 'diskaun besar-besaran' turut akan ditawarkan bagi ketiga-tiga kategori penjualan tiket, menurut FAS.
Piala ASEAN Mitsubishi Electric, yang juga dikenali sebagai Kejuaraan ASEAN dan sebelum ini Kejuaraan AFF, akan diadakan pada 8 Disember hingga 5 Januari.
Pasukan Singa pimpinan Tsutomo Ogura akan beraksi dalam dua perlawanan di Stadium Negara.
Ia akan berentap dengan Kemboja pada 11 Disember pada pukul 7.00 malam disusuli dengan perlawanan menentang Thailand pada 17 Disember dalam perlawanan pada pukul 8.30 malam.
Kedua-dua perlawanan itu di bawah Kumpulan A yang terdiri daripada Singapura, Kemboja, Malaysia, Thailand dan Timor-Leste.
Jualan tiket biasa selepas tempoh tempahan awal akan bermula selepas pukul 12.00 tengah malam pada 2 Disember dan berakhir pada pukul 9.45 malam pada 17 Disember.
Tiket bagi Kategori 1, yang menawarkan pemandangan terbaik untuk perlawanan, akan dijual pada harga S$20 semasa tempoh jualan tempahan awal dan S$33 semasa tempoh jualan biasa.
Sementara itu, harga bagi tiket dalam Kategori 2 bermula S$14 semasa tempoh jualan awal dan S$23 semasa tempoh jualan biasa.
Harga tiket bagi Kategori 3 akan dijual pada S$8 semasa tempoh jualan awal dan S$12 semasa tempoh jualan biasa.
"Para penyokong sangat digalakkan untuk memanfaatkan tempoh jualan awal bagi mendapatkan tiket pada harga serendah mungkin di samping menikmati penjimatan besar," menurut FAS.
Menurutnya lagi, harga tiket tidak termasuk yuran tiket yang berharga S$1 bagi setiap tiket yang dijual bawah S$20, S$3 bagi setiap tiket yang dijual pada harga S$20 hingga S$49.99 dan S$5 bagi setiap tiket yang dijual pada harga S$50 dan ke atas.
Untuk menggalakkan para ibu bapa supaya menonton perlawanan dengan anak-anak mereka, tiket-tiket Zon Keluarga dalam jumlah terhad turut dijual pada harga S$20 untuk kemasukan seorang dewasa dan seorang kanak-kanak atau belia berusia 16 tahun dan ke bawah.
Selain itu, terdapat Pakej Hospitaliti premium yang dijual pada harga S$150 setiap individu di mana ia menawarkan keutamaan ekslusif di stadiuam, termasuk kemasukan khas ke ruang VIP 90 minit sebelum perlawanan bermula dan semasa waktu rehat, dan pelbagai pilihan makanan dan minuman yang telah disesuaikan.
Harga tiket bagi penyokong kelab lawan ditetapkan pada S$30 sepanjang tempoh jualan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.