Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Hanya senaman rendah intensiti berpelitup dibenar di kemudahan tertutup semasa P2HA

Hanya senaman rendah intensiti dengan pemakaian pelitup dibenarkan di studio kecergasan tertutup apabila Singapura kembali menguatkuasakan langkah-langkah COVID-19 lebih ketat di bawah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) atau P2HA, menurut Sport Singapore dalam makluman pada Selasa (20 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Hanya senaman rendah intensiti berpelitup dibenar di kemudahan tertutup semasa P2HA

Seorang wanita melakukan yoga. (Gambar: Pexels/Burst)

Diterbitkan : 21 Jul 2021 10:14AM Dikemas Kini : 21 Jul 2021 10:16AM

SINGAPURA: Hanya senaman rendah intensiti dengan pemakaian pelitup dibenarkan di studio kecergasan tertutup apabila Singapura kembali menguatkuasakan langkah-langkah COVID-19 lebih ketat di bawah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) atau P2HA, menurut Sport Singapore (SportSG) dalam makluman yang dikemas kini pada Selasa (20 Jul).

Langkah-langkah untuk membantutkan lonjakan pada jumlah kes jangkitan tempatan COVID-19 itu akan berkuat kuasa Khamis (22 Ogos) sehingga 18 Ogos, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa.

"Langkah-langkah ini bermatlamat untuk membendung penularan COVID-19 dalam masyarakat dengan menyekat aktiviti sukan dan fizikal yang dilakukan dalam keadaan berisiko lebih tinggi seperti di tempat tertutup serta juga di mana peserta cenderung melakukan kegiatan berat yang lasak tanpa memakai pelitup" menurut SportSG.

Di bawah langkah-langkah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat), semua kegiatan dengan intensiti yang tinggi tanpa pelitup akan digantung.

"Mereka yang melakukan kegiatan sukan atau fizikal yang rendah intensiti dibenarkan di persekitaran tertutup dan dihendaki memakai pelitup pada setiap masa," menurut SportSG.

"Kegiatan itu harus dihentikan dengan serta-merta jika mana-mana peserta menanggalkan pelitup mereka sekalipun sekejap sahaja untuk menarik nafas."

Kemudahan-kemudahan tidak dibenarkan untuk menawarkan latihan mengangkat berat, kekuatan atau ketahanan dan tidak boleh menyediakan peralatan atau tembok memanjat untuk "mengurangkan risiko penularan melalui permukaan yang disentuh ramai orang," menurut SportSG.

Kegiatan-kegiatan berpelitup boleh diadakan dalam beberapa kumpulan yang terdiri daripada dua orang sehingga 30 orang termasuk jurulatih. Kumpulan itu mesti tidak bergaul sebelum, semasa dan selepas kelas serta mesti menjaga jarak 3 meter antara satu sama lain.

Kelas besar di tempat terbuka yang diluluskan di ruang awam seperti taman dan kawasan awam yang dikongsi di HDB boleh diteruskan tetapi tertakluk kepada syarat saiz dan peraturan jarak selamat. Semua jurulatih mesti berdaftar dengan SportSG.

Bagi senarai kemudahan tertutup dan program Sport Singapore yang terjejas sepanjang tempoh ini, sila lungsuri laman ActiveSG. Bayaran balik bagi tempahan terjejas yang jatuh pada tarikh-tarikh itu akan diproses dalam tempoh tujuh hari berikutnya, menurut SportSG.

UJIAN PANTAS COVID-19 UNTUK PEMBIMBING, JURULATIH

Ujian pantas dan mudah (FET) diwajibkan sejak 15 Julai bagi para jurulatih dan instruktor di gim serta studio kecergasan di mana klien melakukan kegiatan tanpa pelitup.

Pembimbing dan jurulatih dalam sukan di mana pelatih tidak memakai pelitup juga perlu menjalani ujian COVID-19 setiap 14 hari.

Bagi perniagaan yang terus dibuka semasa Fasa 2 (Kewaspadan Dipertingkat), majikannya perlu meneruskan syarat FET 14 hari secara tetap.

Jika operasi perniagaan digantung, anggota kakitangan tidak perlu menjalani ujian COVID-19.

Di bawah langkah-langkah lebih ketat, acara sukan boleh membenarkan masuk sehingga 50 penonton tanpa perlu menjalani ujian pra-acara (PET). Had ini boleh digandakan dalam zon sehingga 50 orang sekiranya penganjur memilih untuk melaksanakan PET.

Acara penyertaan besar-besaran seperti acara berlari beramai-ramai, berenang beramai-ramai, berbasikal, dan triatlon boleh diteruskan sehingga 50 peserta tanpa perlu menjalani PET. Dengan PET, semua acara sukan itu juga boleh digandakan kepada sehingga 100 peserta dalam beberapa sesi tidak melebihi 50 orang bagi setiap sesi.

Sesi berbeza juga harus dijarakkan dengan sewajarnya mengikut waktu bagi mengelak para peserta berkumpul di sesuatu tempat serta kawasan sekelilingnya, nasihat SportSG.

"Pada saat ini, acara sukan penyertaan besar-besaran tidak akan dibenarkan untuk menampung lebih daripada 100 peserta setiap sesi dan tidak akan dibenarkan untuk mengundang penonton. Penganjur harus mengambil langkah-langkah untuk mencegah perhimpunan penonton secara spontan untuk acara tersebut," menurut SportSG.

Agensi-agensi pemerintah akan menjalankan pemeriksaan, menurut SportSG. Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka yang melanggar langkah-langkah pengurusan selamat.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan