Hampir 600,000 penduduk banjiri kelab masyarakat tonton Piala Dunia 2018; naik 5% berbanding 4 tahun lalu
Hampir 600,000 penduduk membanjiri 56 kelab masyarakat (CC) di merata Singapura untuk menyaksikan 64 perlawanan Piala Dunia 2018.
SINGAPURA: Hampir 600,000 penduduk membanjiri 56 kelab masyarakat (CC) di merata Singapura untuk menyaksikan 64 perlawanan Piala Dunia 2018.
Berbanding empat tahun lalu dengan 570,000 penonton, jumlah penonton secara keseluruhannya meningkat 5 peratus, dengan Keat Hong dan Bishan CC antara yang berjaya menarik paling ramai penonton, dedah Persatuan Rakyat (PA).
“Memang Alhamdulillah, kita telah menarik lebih ramai penonton kali ini dalam kalangan CC atau Kelab Masyarakat di merata Singapura. Sepanjang (kempen) ini kita melihat lebih 25,000 penonton dari daerah Chua Chu Kang yang datang untuk menyaksikan siaran perlawanan,” kata Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohamad, yang juga Penasihat Akar Umbi Keat Hong semasa mendedahkan perincian itu kepada BERITAMediacorp.
Malah, kemudahan yang baru dibuka sejak 2016 itu mendapat sambutan hebat dengan bilangan penyokong menjangkaui 2,000 orang bagi sesetengah perlawanan yang popular, tambah beliau.
Bahkan, satu skrin saja tidak mencukupi! Sebuah lagi ruang turut disediakan di kedua-dua Keat Hong dan Bishan CC untuk menampung para peminat, termasuk bagi siaran perlawanan semalam (15 Julai) – Perancis menentang Croatia - yang menggulung temasya berprestij itu.
Detik bersejarah Perancis menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua itu disaksikan hampir 1,500 penonton di Bishan CC dan sekitar 2,000 di Keat Hong. Penasihat kemudahan itu, Encik Chong Kee Hiong berkata para penduduk diberi pilihan untuk menonton perlawanan sengit itu melalui skrin projektor dalam dewan berhawa dingin ataupun di skrin LED di kawasan luar.
“Empat tahun lalu, apabila kami menyiarkan perlawanan bola sepak, jumlah penonton sangat ramai. Jadi, kami berfikir, untuk menarik lebih ramai orang, apa salahnya menyediakan dua skrin!” kata beliau.
Dengan seramai 30,000 peminat yang datang untuk menyaksikan 45 perlawanan yang disiarkan secara langsung di sana sepanjang sebulan ini, pihak penganjur terpaksa menghubungi pembekal untuk menambah jumlah kerusi, menurut seorang pemimpin akar umbi.
“Kami terpaksa menghubungi pembekal sebanyak tiga kali sepanjang tempoh (Piala Dunia) ini gara-gara untuk meminta lebih banyak kerusi,” kata Encik Jason Tan.
LEBIH ‘BEST’ MENONTON BERAMAI-RAMAI
Ternyata, penat lelah para penganjur membuahkan hasil kerana penduduk datang berduyun-duyun untuk menyaksikan Piala Dunia di kelab-kelab masyarakat meskipun perlawanan separuh akhir dan selanjutnya disiarkan secara percuma di kaca TV.
“Walaupun di Okto ada siaran langsung untuk menonton di rumah tetapi menonton dengan penduduk-penduduk di sini, kami dapat bersorak. Rasa lebih seronok apabila menonton beramai-ramai. Rasa ‘best’,” kata Muhammad Nizam, 21 tahun, ketika ditemui di Keat Hong CC.
“Suasananya lebih meriah daripada menyaksikannya bersendirian atau dengan bapa saya di rumah. Jadi saya sangat gembira ada peluang ini untuk menonton beramai-ramai,” tambah Abdul Rahman, seorang jurutera berusia 23 tahun.
Abdul Rahman bersama rakan-rakannya di Keat Hong CC.
Sementara itu, Muhamad Amirul Adli, seorang jurulatih di Mega Adventures pula tertarik dengan semangat yang begitu menonjol dalam kalangan penduduk.
“Semangatnya dengan penduduk di Chua Chu Kang. Kita berkumpul berramai-ramai di sini untuk menyaksikan perlawanan. Lagipun di rumah, waktu seperti ini tidak boleh bersorak-sorak. Di sini kita boleh”.
Penduduk Yishun, Muhammad Syafiq Sedek pula sanggup ke Bishan CC untuk bersama-sama menyokong pasukan Perancis.
“Pada pendapat saya, PA seharusnya meneruskan aktiviti-aktiviti seperti ini kerana ia boleh mengeratkan hubungan antara masyarakat,” ujar beliau yang merujuk kepada bukan saja rakyat Singapura tetapi juga warga asing yang turut hadir menyemarakkan suasana malam semalam.
Antara mereka adalah sebuah keluarga dari Perancis yang datang lengkap berbaju jersi pasukan negara mereka dan bendera yang dikibarkan penuh bangga saat jurulatih Didier Deschamps mengembalikan piala yang pernah dimenangi negara itu pada tahun 1998.
“Kami di sini ingin berkongsi kebahagiaan dan emosi dengan rakyat Singapura. Meskipun kami di Singapura, jauh dari negara kami, kami sangat bangga menyokong Perancis,” kata salah seorang daripada mereka.
ALU-ALUKAN PENDUDUK GUNAKAN KEMUDAHAN
Dalam pada itu, Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat juga turun padang semalam bersama kedua-dua orang anak lelakinya.
Kagum dengan kemeriahan yang menyerlah itu, beliau berkata bahawa bola sepak sememangnya sukan yang menyatukan.
“Tidak kira bangsa, agama dan juga bahasa, ramai penduduk tidak kira latar belakang datang untuk menikmati pertandingan bola sepak, untuk memahami bola sepak tidak kira bahasa,” beliau memberitahu BERITAMediacorp.
Ditanya sama ada beliau mengharapkan agar usaha yang sama diteruskan bagi Piala Dunia 2022, Encik Saktiandi menarik perhatian kepada siaran temasya lain yang pernah dianjurkan seperti Sukan SEA dan Olimpik.
“Tentu sekali, kita mengalu-alukan penduduk untuk menggunakan infrastruktur kelab masyarakat Bishan dan juga di Toa Payoh…kita juga menggalakkan penduduk untuk datang melihat dan juga mengenali penduduk-penduduk lain di sini”.
Di Keat Hong CC, Encik Zaqy turut menyokong pandangan yang sama, sambil mempelawa orang ramai supaya memanfaatkan kelab masyarakat di kejiranan mereka.
“Saya rasa memang baiklah kita menggunakan peluang ini untuk membawa masyarakat bersama dan juga untuk menonton sukan bersama,” kata beliau.
Dengan tamatnya perlawanan Perancis menentang Croatia semalam, kempen Piala Dunia yang disiarkan secara percuma di 56 kelab masyarakat di merata Singapura dan di Hab Tampines Kita tahun ini turut berakhir.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.