Hamilton menang GP Eifel untuk menyamai rekod F1 Schumacher
Lewis Hamilton pada Ahad (11 Okt) menyamai rekod 91 kemenangan Formula Satu yang dipegang Michael Schumacher, apabila beliau mencatat kemenangan bagi pasukan Mercedes di Grand Prix Eifel.
Lewis Hamilton memenangi perlumbaan F1 GP Eifel pada 11 Okt 2020 (Gambar: Ronald Wittek, Pool via AP)
NURBURGRING: Lewis Hamilton pada Ahad (11 Okt) menyamai rekod 91 kemenangan Formula Satu yang dipegang Michael Schumacher, apabila beliau mencatat kemenangan bagi pasukan Mercedes di Grand Prix Eifel.
Memanfaatkan sepenuhnya pengunduran awal rakan sepasukannya Valtteri Bottas pada pusingan ke-19 akibat masalah enjin, Hamilton, pendahulu kejuaraan musim ini dan juara dunia sebanyak enam kali menyempurnakan perlumbaannya dengan cemerlang untuk membawa pulang kemenangan ketujuhnya dalam 11 persaingan tahun ini.
"Keputusan yang hebat," katanya di radio pasukan Mercedes selepas melepasi garisan penamat di hadapan Max Verstappen dari Red Bull dengan Daniel Ricciardo dari Renault di tempat ketiga.
Anak lelaki Schumacher, Mick, 21 tahun, seorang bintang yang semakin menyerlah dan juara siri perlumbaan F2, menghadiahkan topi keledar merah dari koleksi kerjaya bapanya kepada Hamilton.
"Tahniah atas kejayaan cemerlang anda," kata anak Schumacher.
"Ia adalah satu penghormatan," kata Hamilton yang terkejut sedang ramai daripada 20,000 peminat di litar itu berdiri sambil bertepuk tangan bagi pelumba dari Britain itu.
"Terima kasih, saya tidak tahu apa untuk dikatakan.
"Apabila anda membesar menyaksikan seseorang pelumba yang anda jadikan idola, saban minggu dan tahun dan melihatnya berada di puncak, saya tidak pernah terbayang berada di sini. Ia adalah satu penghormatan besar."
Tuah yang tidak menyebelahi Bottas membuka peluang untuk Hamilton dan hampir pasti menamatkan peluang kejuaraannya sendiri dengan Hamilton kini mendahului kejuaraan dengan 69 mata.
Sergio Perez mengambil tempat keempat bagi Racing Point mendahului Carlos Sainz dari McLaren, Pierre Gasly dari Alpha Tauri, Charles Leclerc dari Ferrari dan Nico Hulkenberg dari Racing Point.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.