Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Halim Kader isytihar tidak akan tanding lagi jawatan Presiden ASTAF

Tokoh sepak takraw Singapura Abdul Halim Kader berkata beliau tidak akan bertanding lagi untuk merebut jawatan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), setelah penggal terbarunya sekarang tamat pada 2025.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tokoh sepak takraw Singapura Abdul Halim Kader berkata beliau tidak akan bertanding lagi untuk merebut jawatan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), setelah penggal terbarunya sekarang tamat pada 2025.

Beliau mengisytiharkan demikian menyusuli kejayaannya mengekalkan jawatannya itu dalam proses pemilihan pucuk pimpinan ASTAF pada Isnin (1 Mac).

Dalam pengundian bagi memilih pemimpin untuk penggal 2021-2025 itu, Encik Abdul Halim, 70 tahun, mengalahkan dua pencabarnya dan mendapat 30 undi sokongan.

Pesaingnya, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Ahmad Ismail dan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura Mohd Nasri Haron (PERSES) pula gagal meraih sebarang undi.

Encik Halim berkata: "Kepercayaan yang diberikan oleh lebih 22 negara harus saya hormati dan hargai. Saya rasa kepercayaan yang diberikan kepada saya dan pasukan saya harus saya menerima amanah ini sebaik mungkin."

Selain Encik Halim, lagi tiga warga Singapura lain turut terpilih menyertai jawatankuasa ASTAF untuk penggal empat tahun.

Mereka ialah anak sulung Encik Halim sendiri iaitu Muhammad Fariq Abdul Halim yang kekal sebagai Timbalan Setiausaha Agung.

Turut terpilih ialah Amirah Mohd Ismail yang menjadi wanita Singapura pertama memegang jawatan Penolong Setiausaha Agung ASTAF. Cik Amirah merupakan mantan Pengurus Kanan PERSES.

Md Nazarisham Md Isa pula terpilih untuk memegang jawatan Bendahari. Cik Amirah dan Encik Nazarisham adalah muka baru dalam ASTAF.

RANCANGAN ASTAF BAGI PENGGAL 2021-2025

Membentangkan rancangannya untuk penggal 2021-2025, Encik Halim berkata beliau antara lain akan giat membawa sepak takraw ke sekolah-sekolah sukan di Asia.

"Saya selaku Presiden ASTAF, akan bekerjasama dengan majlis sukan di negara-negara Asia untuk menyokong program tempatan di Singapura, Malaysia, Indonesia, Iraq, Iran dan juga Chinese Taipei. Saya akan mengenal pasti beberapa negara untuk kami menubuhkan akademi takraw. Singapura tidak akan terlepas daripada tempat yang kita kenal pasti," ujar Encik Halim.

"Yang penting saya juga harus mengenal pasti kakitangan pakar dari segi kejurulatihan, latihan dan mempunyai kepakaran sains sukan."

Usaha tersebut, menurut Encik Halim, dilakukan bagi menghidupkan kembali usaha penubuhan akademi berkenaan setelah gagal direalisasikan sebelum ini.

Encik Halim juga berkata penubuhan akademi itu dilihat sebagai usaha mencungkil bakat sepak takraw pada masa hadapan, selain memelihara warisan sukan yang menjadi sebahagian daripada tradisi masyarakat di Asia Tenggara amnya.

Dari segi jawatankuasa ASTAF pula, Encik Halim akur ia memerlukan lebih ramai muka-muka baru dalam badan itu selepas penggal ini.

"Selain muka-muka baru, saya juga akan memperkenalkan beberapa wanita Singapura untuk kita masukkan dalam jawatankuasa penting di Singapura untuk kita melonjakkan program kita nanti," ujar Encik Halim lagi.

BARISAN PENUH EKSKO ASTAF BAGI PENGGAL 2021-2025

Presiden:
Abdul Halim Kader (Singapura)

Timbalan Presiden:
Prof Chalerm Chaiwatcharaporn (Thailand)
Yogender Singh Dahiya (India)

Naib Presiden:
Meas Sarin (Cambodia)
Sor Naing (Myanmar)
Sohrab Azad Khankandi (Iran)
Masaru Misawa (Jepun)
Oh Joo Young (Korea Selatan)
Syafrizal Bahtiar (Indonesia)
Tsai Hung-Peng (Taiwan)
Noushad Ahmed Khan (Pakistan)

Setiasusaha Agung:
Boonchai Lorhpipat (Thailand)

Timbalan Setiausaha Agung:
Muhammad Fariq Abdul Halim (Singapura)

Penolong Setiausaha Agung:
Amirah Mohd Ismail (Singapura)

Bendahari:
Nazarisham Mohamed Isa (Singapura)

Anggota Jawatankuasa:
Le Hong Tinh (Vietnam)
Samaranyake Abeykoonge Kingsley Chareendra De Silva (Sri Lanka)
Safaa Sahib Nayyef Alnawafali (Iraq)
Kasem Inthara (Laos)
Chan Wai Yuen (Hong Kong)
Un Oi Mou (Macau)
Abdulaziz Albusaidi (Oman)
Netra Prasad Gurung (Nepal)
Mohammed Faruque Dhali (Bangladesh)
Mohammad Yasin Mohammadi (Afghanistan) 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa