Grand Prix SG: Undian dibuka bagi Thursday Pit Lane Experience
Para peminat Formula 1 berpeluang melihat persiapan menjelang perlumbaan Grand Prix Singapura dengan lebih dekat.
Thursday Pit Lane Experience memberi peluang kepada para peminat untuk menyaksikan persiapan perlumbaan di sebalik tabir sebelum Circuit Park dibuka secara rasmi bagi hujung minggu perlumbaan. (Gambar: Singapore GP)
Undian kini dibuka bagi Thursday Pit Lane Experience pada 8 Oktober.
Sehingga 4,500 peminat berpeluang berjalan di lorong pit di Litar Jalan Raya Marina Bay, di mana mereka boleh melihat dari dekat garaj pasukan dan kereta Formula 1 sedang pasukan-pasukan membuat persiapan bagi hujung minggu perlumbaan.
Acara tersebut akan berlangsung pada Khamis sebelum Circuit Park dibuka secara rasmi bagi Grand Prix Singapura, yang berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober.
Selain berjalan di lorong pit, para pengunjung juga boleh meneroka F1 Village di Zon 1 dan menyertai pelbagai kegiatan interaktif yang disediakan pada malam tersebut.
Undian awam itu terbuka kepada warga Singapura dan Penduduk Tetap, dan para pemohon tidak perlu memiliki tiket bagi hujung minggu perlumbaan untuk menyertainya. Setiap pemohon yang berjaya akan menerima sepasang tiket bagi Thursday Pit Lane Experience.
Undian kini dibuka dan akan ditutup pada 18 September, pukul 11.59 malam waktu Singapura. Untuk menyertai undian, para pemohon boleh mengunjungi laman rasmi acara tersebut.
Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan secara berasingan.
Thursday Pit Lane Experience merupakan sebahagian daripada kegiatan RevUpSG sempena Grand Prix Singapura, yang menawarkan peluang kepada para peminat untuk mendekati dunia Formula 1 di luar hujung minggu perlumbaan utama.
Grand Prix Formula 1 Singapore Airlines Singapura 2026 akan berlangsung di Litar Jalan Raya Marina Bay dari 9 hingga 11 Oktober, dengan perlumbaan pecut diadakan pada 10 Oktober, diikuti perlumbaan malam utama pada 11 Oktober.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.