Golongan kurang upaya boleh jadi peran contoh, anak-beranak ini bertekad kumpul derma untuk 'Ride for Rainbows'
“Lihat pada kemampuan, bukan kekurangan mereka.”
Siti Fadillah dan anaknya, Muhd Sayfullah bakal mengambil bahagian dalam kategori khas acara Ride for Rainbows tahun ini. (Gambar: Club Rainbow)
SINGAPURA: “Lihat pada kemampuan, bukan kekurangan mereka.”
Kata-kata tersebut menjadi pedoman Cik Siti Fadillah Mohamed Noor, 42 tahun dalam mengasuh anak-anaknya terutama sekali Muhammad Sayfullah, 16 tahun, yang mengalami palsi serebrum tahap teruk.
“Memang menjalani liku-liku kehidupan ini bukan senang. Amat mencabar.
“Tapi saya bangkit untuk membuktikan kepada diri dan anak-anak saya bahawa saya boleh lakukannya sebab tiada siapa yang boleh membantu kita selain diri kita sendiri,” luah suri rumah itu kepada BERITAmediacorp.
WARNA-WARNI PELANGI IBARAT SINAR HARAPAN
Sekitar 12 tahun lalu, beliau berhenti kerja untuk menjaga anak-anak dan ibu bapanya. Selain Sayfullah, anak perempuannya, Shaista Farihah, 15 tahun, juga memerlukan lebih banyak perhatian kerana menghidap pelbagai penyakit kronik lantas harus berulang-alik dari rumah ke hospital.
Cik Siti bergambar bersama anak-anaknya. (Gambar ihsan: Siti Fadillah)
Mujur, Cik Siti disarankan oleh doktor supaya mendapatkan sokongan daripada Club Rainbow yang menyediakan pelbagai bentuk bantuan buat mereka sekeluarga.
“Kita banyak memanfaatkan khidmat mereka. Antaranya adalah bantuan emosi, kewangan, rehabilitasi dan pembelajaran. Kita juga selalu menyertai acara-acara yang mereka anjurkan,” kongsi beliau yang sudah lebih 10 tahun menerima sokongan daripada badan bukan untuk meraih keuntungan itu.
Sebagi contoh, anak sulungnya yang berminat dalam seni digital terlibat dalam Program Pembangunan Seni anjuran badan tersebut.
Inilah antara hasil karya Sayfullah. (Gambar: Instagram/@artbysayfullah)
Sayfullah berhasil mengasah bakatnya dengan menghadiri kelas-kelas seni digital dan karyanya pula dipamerkan di pesta seni yang diadakan setiap tahun.
Kagum dengan kebolehannya, mereka sekeluarga membuka akaun Instagram @artbysayfulllah tiga tahun lalu untuk mengongsi karya Sayfullah.
Orang ramai boleh membuat tempahan beg, kad, cawan dan sebagainya yang dicetak dengan grafik-grafik hasil air tangan beliau menerusi pautan di akaun beliau.
Salah satu karya grafik Sayfullah yang dimuat naik dalam akaun Instagramnya.
BALAS BUDI MELALUI RIDE FOR RAINBOWS
Bagi menunjukkan penghargaan mereka dan sebagai tanda membalas budi kepada kakitangan Club Rainbow yang banyak membantu mereka sekeluarga, Cik Siti dan Sayfullah akan turut serta dalam Ride for Rainbows bulan depan.
Poster Ride for Rainbows 2020. (Gambar: Club Rainbow)
Dianjurkan setiap tahun sejak 2012, acara amal itu bertujuan mengumpul dana bagi menampung kos operasi badan berkenaan, di samping meningkatkan kesedaran tentang kanak-kanak seperti Sayfullah dan Shaista.
Di sekitar acara Ride for Rainbows 2019. (Gambar fail: Club Rainbow)
Buat julung-julung kalinya, acara berbasikal itu beralih ke wadah online tahun ini dengan para peserta diajak mengayuh basikal pada bila-bila masa dari 3 hingga 11 Oktober.
Untuk layak mengambil bahagian, para peserta 20km perlu mengumpul S$200 manakala mereka yang bakal mengayuh sejauh 70km pula, perlu menggembleng S$700. Orang ramai juga boleh membantu para peserta menepati jumlah tersebut melalui membuat sumbangan di www.rideforrainbows.org.
Cik Siti dan Sayfullah pula akan menganggotai Team Rainbow yang terdiri daripada 10 penerima bantuan Club Rainbow bersama para penjaga mereka.
Setiap pasangan akan berjalan kaki atau menolak kerusi roda sejauh 2km.
“Saya inginkan masyarakat melihat golongan istimewa seperti Sayfullah mampu memberi perangsang kepada orang-orang lain juga,” ujar ibu tiga orang anak itu.
Anda boleh menderma khusus bagi Sayfullah dan ibunya di sini. (Gambar: Club Rainbow)
Rancangannya adalah untuk menolak kerusi roda sejauh 1km dahulu. Setelah itu, jika mampu, mereka akan meneruskan perjalanan demi mencapai matlamat 2km.
Katanya kepada BERITAmediacorp dengan penuh yakin: “Jika kita bersungguh-sungguh, bertekad untuk melakukan sesuatu, insya Allah kita akan berjaya!”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.