Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Gol Maguire pada minit ke-121 bawa Man United ke separuh akhir

Harry Maguire menjaringkan gol pada saat-saat terakhir masa tambahan bagi membantu Manchester United mara ke separuh akhir Liga Europa pada Khamis dengan kemenangan agregat 7-6 ke atas Olympique Lyonnais dalam perlawanan suku akhir.

Anggaran Waktu Membaca:
Gol Maguire pada minit ke-121 bawa Man United ke separuh akhir

Pemain Manchester United, Harry Maguire, meraikan kemenangan pasukannya setelah perlawanan dengan Olympique Lyonnais, di Old Trafford, Machester, Britain tamat, pada 17 April 2025. (Gambar: REUTERS/Phil Noble)

MANCHESTER, England: Harry Maguire menjaringkan gol pada saat-saat terakhir masa tambahan bagi membantu Manchester United mara ke separuh akhir Liga Europa pada Khamis dengan kemenangan agregat 7-6 ke atas Olympique Lyonnais dalam perlawanan suku akhir.

Perlawanan kedua yang mendebarkan itu memasuki masa tambahan selepas United mensia-siakan kelebihan dua gol pada malam itu, apabila Lyon menyamakan kedudukan 2-2 selepas 90 minit hasil jaringan Rayan Cherki dan Alexandre Lacazette yang hampir-hampir membawa Lyon ke separuh akhir di Old Trafford.

Namun, United memanfaatkan kelebihan jumlah pemain selepas Corentin Tolisso dibuang padang pada lewat masa permainan biasa.

Maguire kemudian membangkitkan kegembiraan luar biasa di Old Trafford dengan tandukan pada minit ke-121, sekali gus memastikan kemenangan 5-4 dalam perlawanan kedua pusingan suku akhir itu.

Pasukan tuan rumah mendahului awal apabila Manuel Ugarte menjaringkan gol seawal minit ke-10 selepas satu gerakan berpasukan yang cantik, sebelum Diogo Dalot menambah jaringan kedua sebelum tamat separuh masa pertama.

Namun, dua gol dalam tempoh enam minit pada separuh masa kedua oleh Tolisso dan Nicolas Tagliafico menyamakan kedudukan dan menghidupkan kembali peluang Lyon dengan gaya yang dramatik.

Kad merah Tolisso di penghujung masa permainan biasa memberikan semula rentak kepada United, namun jaringan hebat Cherki dan penalti tenang Lacazette seolah-olah mengakhiri perlawanan yang mendebarkan itu.

Tendangan penalti Bruno Fernandes pula memberi harapan kepada penyokong tuan rumah untuk satu lagi penamat dramatik, sebelum Kobbie Mainoo menyamakan kedudukan dengan apa yang kelihatan sebagai tendangan terakhir, namun Maguire ternyata berjaya meraih gol kemenangan bagi Manchester United.

United kini menjadi pasukan pertama dalam sejarah yang menjaringkan dua gol pada minit ke-120 dalam perlawanan utama Eropah, dan mara ke separuh akhir bagi menentang Athletic Bilbao.

"Saya rasa gol keempat mereka sangat mengecewakan, tetapi saya tahu kami akan mendapat peluang untuk kembali," kata Maguire kepada TNT Sport.

"Ia jatuh kepada saya dan mujur saya berjaya menjaringkan gol itu, ia adalah satu perasaan yang luar biasa.

"Perlawanan yang luar biasa."
Sumber : Reuters/IM/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan