Giroud bantu Perancis tewaskan Sweden dalam Liga Negara-Negara UEFA
Olivier Giroud meneruskan rentak cemerlangnya apabila menjaringkan dua gol bagi membantu Perancis bangkit sekali gus menewaskan Sweden 4-2 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA, pada Selasa (17 Nov).
(Gambar: AFP)
PARIS: Olivier Giroud meneruskan rentak cemerlangnya apabila menjaringkan dua gol bagi membantu Perancis bangkit sekali gus menewaskan Sweden 4-2 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA, pada Selasa (17 Nov).
Viktor Claesson menjaringkan gol di Stade de France, tetapi Giroud menyamakan kedudukan dan Benjamin Pavard meletakkan Perancis di depan sebelum tamat babak pertama perlawanan.
Giroud kemudian menjaringkan gol hasil hantaran Kylian Mbappe untuk menjadikan kedudukan 3-1 dalam tempoh satu jam permainan, sekali gus menjaringkan 44 gol dalam 105 penampilan buat negaranya.
Kingsley Coman menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan buat Perancis selepas Robin Quaison menjaringkan gol kedua Sweden dalam aksi itu.
Selepas mengatasi rekod pencapaian Michel Platini dengan 41 gol buat Les Bleus, Giroud kini menghampiri rekod keseluruhan Thierry Henry yang mencatat 51 gol.
Pemain berusia 34 tahun itu kekal sebagai pemain penting untuk jurulatih, Didier Deschamps di sebalik kerap diketepikan oleh kelabnya Chelsea. Beliau baru sahaja beraksi dalam perlawanan pertama pada musim ini dalam saingan Piala Liga.
"Saya sudah biasa diherdik dan diejek. Ia adalah sebahagian daripada pengalaman saya dalam kerjaya ini, tetapi ia menjadikan saya lebih kuat," kata Giroud.
Kemenangan itu menyaksikan Perancis mengesahkan kedudukan di tangga teratas Liga A, Kumpulan 3 mengatasi Portugal sekali gus layak ke pusingan akhir Liga Negara-Negara pada Oktober tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.