Skip to main content

Sukan

Gianni Infantino tiada masa depan di FIFA, kata ketua Liga Eropah

Anggaran Waktu Membaca:
Gianni Infantino tiada masa depan di FIFA, kata ketua Liga Eropah

Presiden FIFA Gianni Infantino menghadiri upacara penutup Piala Dunia Esukan di Grand Palais, Paris, Perancis, pada 23 Ogos 2026. (Gambar: Teresa Suarez/Pool menerusi REUTERS)

Diterbitkan : 26 Aug 2026 08:01PM
LONDON: Gianni Infantino tidak mempunyai masa depan di FIFA, kata Presiden Liga Eropah Claudius Schaefer, sambil menekankan perlunya pembaharuan terhadap badan induk bola sepak dunia itu dan tanggungjawab presidennya.

Dalam wawancara bersama The Athletic yang diterbitkan pada Rabu (26 Ogos), Encik Schaefer berkata Liga Eropah, yang mewakili 53 liga bola sepak profesional lelaki dan wanita, amat prihatin terhadap kepimpinan Encik Infantino.

"Kami mempersoalkan kesesuaiannya untuk terus menjadi presiden. Di Switzerland, kami dapat melihat FIFA dari dekat dan nampaknya pengaruh presiden semakin meningkat dari tahun ke tahun," katanya.

Beliau mendakwa keputusan-keputusan utama dibuat tanpa rundingan bermakna dengan pihak berkepentingan yang akan terjejas.

Kenyataan Encik Schaefer dibuat di tengah-tengah pertikaian antara badan-badan pentadbir bola sepak, yang tercetus menyusuli cadangan FIFA untuk menjual sebahagian hak komersial Piala Dunia. Cadangan itu kemudian dibatalkan.

Encik Infantino turut berdepan tekanan daripada tiga konfederasi supaya meletak jawatan, termasuk Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan CONCACAF, yang mewakili Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean.

Badan-badan pentadbir serantau itu juga sudah membincangkan kemungkinan mengadakan undi tidak percaya terhadap Presiden FIFA tersebut.

INTEGRITI SUKAN DIPERSOALKAN

Kebimbangan turut dibangkitkan mengenai Anugerah Keamanan FIFA yang julung-julung kali diberikan kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Disember lalu.

Ia juga menyusuli pembatalan penggantungan penyerang Amerika Folarin Balogun semasa Piala Dunia tahun ini selepas panggilan daripada Encik Trump.

Encik Schaefer menyifatkan campur tangan politik sedemikian dalam urusan sukan sebagai satu skandal yang menimbulkan persoalan mengenai integriti permainan.

"Itulah sebabnya tiada masa depan di FIFA bagi Infantino. Memang tidak boleh ada," katanya.

Encik Infantino dijangka bertanding untuk penggal keempat sebagai Presiden FIFA tahun depan dan berkemungkinan menghadapi tentangan sengit.

Namun, Encik Schaefer berkata perkara lebih penting bukan sekadar menggantikan presiden, tetapi mentakrifkan semula peranan Presiden FIFA.

"Bagi kami, melaksanakan pembaharuan ini adalah tugas paling penting dan ia hanya boleh dilakukan dengan presiden lain," katanya.

FIFA belum memberikan respons terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita