Skip to main content

Sukan

Gianni Infantino akan bertanding bagi pemilihan semula Presiden FIFA pada Mac 2027

Presiden FIFA Gianni Infantino akan tetap bertanding bagi pemilihan semula pada Mac 2027 meskipun berdepan tentangan baharu terhadap pencalonannya, menurut badan induk bola sepak dunia itu pada Ahad (6 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Gianni Infantino akan bertanding bagi pemilihan semula Presiden FIFA pada Mac 2027

Presiden FIFA Gianni Infantino tiba di stadium sebelum perlawanan Piala Dunia Wanita Bawah 20 Tahun FIFA antara Poland dengan Argentina di Katowice, Poland pada 5 September 2026. (Gambar: REUTERS/Kacper Pempel)

Diterbitkan : 06 Sep 2026 10:19PM
  • Presiden FIFA Gianni Infantino mengesahkan akan bertanding semula pada pemilihan Mac 2027 walaupun menghadapi tentangan baharu.
  • UEFA, AFC dan CONCACAF mendesak beliau meletak jawatan susulan rancangan penjualan 20 peratus kepentingan Piala Dunia kepada pelabur swasta.
  • Rancangan penjualan tersebut dibatalkan pada Julai 2026 selepas menerima bantahan meluas daripada pelbagai pihak.
  • Infantino masih mendapat sokongan daripada konfederasi bola sepak Afrika dan Amerika Selatan, dan tiada calon rasmi lain diumumkan setakat ini.
Dijana oleh AI
ZURICH: Presiden FIFA Gianni Infantino akan tetap bertanding bagi pemilihan semula pada Mac 2027 meskipun berdepan tentangan baharu terhadap pencalonannya, menurut badan induk bola sepak dunia itu pada Ahad (6 Sep).

Encik Infantino sebelum ini mengumumkan bahawa beliau akan bertanding untuk penggal keempat tahun depan.

Namun, beliau berdepan desakan supaya meletak jawatan daripada Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF).

Desakan itu menyusuli rancangan untuk menjual 20 peratus kepentingan dalam Piala Dunia dan pertandingan FIFA lain kepada para pelabur swasta.

Rancangan tersebut dibatalkan pada Julai 2026 selepas menerima bantahan meluas.

Bagaimanapun, Encik Infantino, 56 tahun, masih mendapat sokongan daripada konfederasi bola sepak Afrika dan Amerika Selatan.

“Presiden FIFA mengumumkan pada April bahawa beliau akan bertanding bagi pemilihan semula pada 2027. Sudah tentu, tiada apa-apa yang berubah. Encik Infantino akan bertanding bagi pemilihan semula,” menurut jurucakap FIFA dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Encik Infantino enggan mengulas secara terperinci apabila ditanya sama ada beliau kesal dengan pergolakan sepanjang enam minggu lalu ketika menghadiri Piala Dunia Bawah 20 Tahun di Poland pada Sabtu (5 Sep).

“Ada banyak yang boleh diperkatakan, tetapi akan ada tempat dan masa yang sesuai untuk berbuat demikian,” katanya.

Setakat ini, belum ada calon yang secara rasmi mengumumkan akan mencabar Encik Infantino dalam pemilihan tahun depan.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita