Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

'Gembira SG kini tanah air saya': Kyoga Nakamura dari Jepun diberi kerakyatan SG

Anggaran Waktu Membaca:
 'Gembira SG kini tanah air saya': Kyoga Nakamura dari Jepun diberi kerakyatan SG

Kyoga Nakamura semasa kem latihan Singa di Jepun awal bulan ini. (Gambar: FAS)

Diterbitkan : 25 Oct 2024 06:34PM Dikemas Kini : 25 Oct 2024 06:37PM
SINGAPURA: Ia satu penantian mendebarkan bagi pemain tengah Tampines Rovers Kyoga Nakamura.

Namun impiannya untuk menjadi rakyat Singapura akhirnya sudah tercapai.

Nakamura mengesahkan khabar itu dengan Mediacorp pada Jumaat (25 Okt).

"Jantung saya berdebar-debar ketika memasuki bilik di ICA untuk mengangkat sumpah, tetapi saya tahu inilah yang saya mahukan - dan saya gembira yang saya benar-benar boleh mengatakan Singapura tanah air saya sekarang," katanya, sambil merujuk kepada bangunan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan.

"Saya dan keluarga sangat berbesar hati atas semua bantuan yang kami terima daripada masyarakat Tampines, kelab, Persatuan Bola Sepak Singapura dan rakan-rakan di merata negara, mereka sangat penting dalam perjalanan saya."

Anak muda berusia 28 tahun itu menjadi Penduduk Tetap (PR) awal tahun ini. Dia merupakan pemain bola sepak pertama yang menjadi rakyat Singapura selepas Song Ui-young pada 2021.

Dilahirkan di bandar Chiba, Nakamura memulakan kerjaya bola sepaknya secara profesional dalam peringkat kedua bola sepak Jepun bersama kelab JEF United Chiba pada usia 18 tahun.

Beliau juga membuat tiga kemunculan bagi Jepun semasa Piala Dunia bawah usia 17 tahun pada 2013.

Selepas beberapa kali dipinjamkan kepada pasukan di Jepun, Nakamura menyertai Albirex Niigata Singapura pada 2019. Dalam musim yang sama, dia dicalonkan sebagai Pemain Muda Terbaik (Young Player of the Year) dan Gol Terbaik Musim 2019 (Goal of the Season).

Nakamura kemudian menyertai BG Tampines Rovers dan sudah menjadi sebahagian penting pasukan itu. Dia muncul dalam perlawanan seri bekumpulan Stags' 3-3 Piala AFC dengan pasukan Nam Dinh FC Vietnam pada Khamis (24 Okt).

Pemain yang menyarung jersi nombor 10 itu membuat penampilan sebanyak empat kali dalam Pasukan Liga Perdana Singapura - 2019, 2020, 2022 dan 2023.

"Saya mahu lakukan yang terbaik, apa yang saya boleh lakukan dalam kelab untuk menyumbang kepada pasukan negara," kata Nakamura, sambil menambah dia mahu membantu menjadikan Singapura "pasukan bola sepak nombor satu di Asia Tenggara".

"Kyoga seorang pemain bola sepak yang sangat hebat dan seorang yang sangat baik," kata Pengerusi Kelab BG Tampines Rovers Desmond Ong menerusi Facebook kelab.

"Saya gembira menerimanya sebagai rakyat baharu dan saya bangga berdiri bersamanya sebagai rakan senegara."

Pada September, Nakamura diundang oleh FAS untuk "memperkenalkan dan membiasakan diri" dengan anggota pasukan bola sepak negara.

Awal bulan ini, dia juga diundang untuk berlatih bersama pasukan Singa semasa kem latihan berpusat di Jepun.

Nakamura akan layak untuk mewakili Singapura di Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), yang akan diadakan dari awal Disember hingga awal Januari tahun depan.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan