Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Gemar berbasikal? Bersenam sambil beramal bersama ‘Ride for Rainbows 2020’

Acara berbasikal amal anjuran Club Rainbow, ‘Ride for Rainbows’ akan diadakan sekali lagi pada 15 Mac di Bendungan Marina.

Anggaran Waktu Membaca:
Gemar berbasikal? Bersenam sambil beramal bersama ‘Ride for Rainbows 2020’

Para peserta Ride for Rainbows 2019 berbasikal di Taman Bishan-Ang Mo Kio. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Acara berbasikal amal anjuran Club Rainbow, ‘Ride for Rainbows’ akan diadakan sekali lagi pada 15 Mac di Bendungan Marina.

Istimewa untuk edisi ke-9, acara kali ini akan menampilkan dua kategori berbasikal yang bukan setakat untuk beriadah saja malah cukup mencabar bagi mereka yang benar-benar gemar berbasikal jarak jauh. Jarak yang ditawarkan adalah sejauh 20km dan 70km.

Kedua-dua kategori itu bagi mencerminkan cabaran-cabaran yang harus ditempuhi setiap hari oleh para penerima bantuan.

Para peserta akan diuji ketabahan dan kebingkasan diri - iaitu dua ciri penting yang cuba dipupuk Club Rainbow dalam diri penerima, khususnya para pesakit kronik yang berjuang setiap hari untuk menikmati kehidupan yang bermakna bersama keluarga dan orang tersayang.

Bagi para peserta yang lebih cenderung berbasikal di sekeliling kawasan penghubung taman, kategori berbasikal sejauh 20km ditawarkan khusus untuk mereka.

Laluan berbasikal itu akan membawa mereka mengelilingi kawasan-kawasan dengan pemandangan yang indah di Taman East Coast di mana mereka boleh menikmati udara yang nyaman sambil berbasikal di tepi laut.

Tahun ini, dengan tujuan memberi peluang kepada para penerima bantuan untuk sama-sama menyertai acara ‘Ride for Rainbows’ dan memberi penghargaan kepada masyarakat atas sokongan padu mereka, sebuah kategori istimewa diperkenalkan bagi para penerima bantuan Club Rainbow yang mengalami masalah pergerakan.

Para peserta kanak-kanak akan diiringi oleh seorang penjaga dari Club Rainbow yang akan menolak kerusi roda mereka sejauh dua kilometer.

Dalam acara tersebut, para pengayuh basikal akan disertai oleh Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin yang juga merupakan penaung Club Rainbow.

Encik Tan mengayuh basikal sejauh 108km bagi acara Ride for Rainbows tahun lalu.

Menyifatkannya sebagai satu 'pengalaman yang mencabar', Encik Tan menegaskan bahawa pengalamannya itu tidak sama jika dibandingkan dengan cabaran-cabaran yang harus ditempuhi para penerima bantuan dalam kehidupan harian mereka.

Beliau juga mengalu-alukan sokongan orang ramai bagi acara tersebut, sama ada menerusi tajaan ataupun mendaftarkan diri untuk membantu mengumpul dana.

Sasaran ‘Ride for Rainbows’ tahun ini adalah untuk mengumpul dana sebanyak S$700,000 yang akan disalurkan kepada para penerima bantuan Club Rainbow, di samping menggalak gaya hidup sihat menerusi aktiviti berbasikal.

Untuk maklumat lanjut bagi mendaftarkan diri, sila lungsuri laman rideforrainbows.org

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan