Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Ganjaran wang Joseph Schooling bagi prestasi di Sukan SEA Hanoi ditahan

Anggaran Waktu Membaca:
Ganjaran wang Joseph Schooling bagi prestasi di Sukan SEA Hanoi ditahan

(Gambar: Minh Hoang/AP)

Diterbitkan : 14 Sep 2022 11:51PM Dikemas Kini : 14 Sep 2022 11:56PM

SINGAPURA: Seramai 68 atlit yang menang pingat di Sukan SEA dan Sukan Komanwel diberi ganjaran wang sehingga S$860,000 bagi pencapaian mereka dalam satu acara pada Rabu (14 Sep).

Demikian menurut Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) dalam satu kenyataan media. 

Namun, Mediacorp difahamkan bahawa ganjaran wang bagi Joseph Schooling pada Sukan Asia Tenggara 2021 di Hanoi ditahan. SNOC enggan mengulas apabila ditanya Mediacorp. 

Schooling yang meraih dua pingat emas dan satu gangsa di Hanoi, tidak hadir pada majlis penyampaian anugerah Program Anugerah Sukan Utama (MAP) dan majlis makan malam penghargaan kepada Team Singapore pada Rabu (14 Sep). 

Bulan lalu, perenang itu mengaku mengambil ganja  di luar negara pada Mei semasa tidak melakukan Perkhidmatan Negara (NS) dalam jangka masa pendek untuk berlatih dan menyertai Sukan SEA. 

Memandangkan terdapat penyalahgunaan hak istimewanya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan Schooling tidak lagi layak untuk menangguhkan atau mengambil cuti untuk berlatih atau bertanding sepanjang beliau menjalani NS. 

Dalam majlis penyampaian anugerah pada Rabu (14 Sep), anugerah bagi pemenang pingat Pasukan Singapura adalah S$495,000 bagi Sukan SEA dan S$365,000 bagi Sukan Komanwel. 

Kontinjen seramai 424 anggota itu mewakili Singapura dalam 33 acara sukan di Sukan Sea di Hanoi pada Mei lalu dan merangkul 47 pingat emas, 46 perak dan 71 gangsa. 

Lima rekod Sukan, 16 rekod negara dan 41 rekod peribadi dicatat sepanjang Sukan itu, menurut SNOC. 

Kontinjen yang diketuai chef de mission S Sinnathurai, turut disertai 245 atlit kali pertama yang menyumbang 62  daripada 164 pingat yang dimenangi Team Singapore. 

Perenang Quah Jing Wen diiktiraf sebagai Atlit Paling Berharga (wanita), dengan pungutan enam pingat emas dan satu gangsa di Sukan SEA. 

Di Sukan Komanwel Birmingham yang berlangsung antara lewat Julai hingga awal Ogos, kontinjen seramai 66 atlit dalam sembilan acara sukan dipimpin chef de mission Lim Heem Wei. 

Mereka pulang dengan empat pingat emas, empat perak dan empat gangsa serta lapan rekod negara dan 16 rekod peribadi. 

"Seramai 50 atlit membuat penampilan pertama mereka di Sukan Komanwel di Birmingham, manakala atlit tenis meja veteran  Feng Tianwei meraih jumlah pingat paling banyak dalam kerjayanya dengan 13 pingat dalam empat edisi," menurut SNOC.

Cik Feng turut menerima Anugerah David Dixon, yang disampaikan kepada atlit yang menunjukkan prestasi terbaik di Sukan tersebut. 

Anugerah MAP mengiktiraf pemenang pingat Sukan SEA, Komanwel, Asia dan Olimpik. Di bawah program yang dibiayai Lembaga Tote Singapura, pemenang pingat menerima ganjaran wang tunai berdasarkan acara utama Sukan dan pingat yang dimenangi mereka. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan