Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Gangguan rantaian bekalan global jejas penghantaran jersi EPL; jersi musim lalu dijual hampir 50% lebih murah

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Musim baru Liga Perdana England (EPL) dijangka akan menyaksikan persaingan yang lebih sengit bagi merebut mahkota EPL dengan perlawanan-perlawanannya dijadual bermula pada Sabtu (6 Ogos).

Musim baru EPL juga dijangka lebih menarik dengan kehadiran ramai pemain terkemuka, termasuk pemain-pemain muda berbakat, yang memutuskan untuk berhijrah ke EPL pada musim baru ini.

Antaranya ialah bekas penyerang Borussia Dortmund, Erling Braut Haaland yang berpindah ke Manchester City dengan yuran perpindahan bernilai £51 juta, manakala penyerang Uruguay, Darwin Nunez pula akan menyarung jersi Liverpool setelah menandatangani kontrak bernilai £85 juta.

Seperti para peminat EPL yang lain di merata dunia, para penyokong di Singapura juga tidak sabar menantikan tirai musim baru EPL dibuka esok.

Dengan bermulanya musim baru itu, pasti ramai peminat dan penyokong di Singapura juga ghairah untuk membeli jersi baru pasukan bola sepak kegemaran masing-masing.

PUNCA KELENGAHAN

Malangnya, ketibaan sesetengah jersi pasukan EPL mungkin mengalami kelengahan.

Dalam wawancara eksklusif bersama BERITAmediacorp, pembekal dan peruncit jersi bola sepak yang terkenal di Singapura, Weston Corp mendedahkan bahawa penghantaran jersi pasukan bola sepak ke Singapura, baik pasukan-pasukan EPL mahupun pasukan-pasukan daripada liga bola sepak yang lain, mengalami kelengahan disebabkan oleh gangguan pada rantaian bekalan global, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan konflik berterusan Ukraine-Rusia.

Laluan perkapalan di Eropah yang terjejas akibat konflik Ukraine-Rusia turut menyebabkan kos penghantaran melalui jalan laut melambung tinggi.

Sejak menapak di Singapura pada 1949, Weston Corp sudah membuka tujuh cawangan sejauh ini di Queensway, Peninsula Shopping Centre, Kallang Wave Mall, Vivo City, Tampines Mall, Junction 8 dan 313@somerset.
PENGHANTARAN JERSI TIDAK LENGKAP

Menurut Pengarah Weston Corp, Encik Ami Chopra, tahun ini merupakan kali pertama Weston Corp mengalami kesulitan untuk mendapatkan bekalan lengkap bagi jersi pasukan-pasukan EPL sebelum musim baru bermula.

Beliau turut memberi contoh bagaimana Weston Corp sudahpun mendapatkan bekalan jersi pasukan Liverpool bagi perlawanan di padang sendiri tetapi terpaksa menunggu lama untuk menerima bekalan jersi kedua Liverpool apabila pasukan itu bermain di padang lawan.

"Disebabkan oleh gangguan pada rantaian bekalan global, sesetengah pasukan atau pengeluar jersi turut memutuskan untuk melengahkan pelancaran sebilangan jersi," menurut Encik Ami.

"Malah, ada juga yang memutuskan untuk melancarkan jersi baru mereka pada jumlah yang lebih kecil dan di pasaran-pasaran terpilih saja," dedah Encik Ami kepada BERITAmediacorp.

Menurut Pengurus Weston Corp, Encik Mohamed Taufiq Samsuri, 34 tahun, harga jersi bagi pasukan-pasukan EPL dianggarkan meningkat sekitar 5 peratus berbanding musim lalu.
JUALAN JERSI MUSIM LALU

Bagi menambat hati para peminat tempatan yang mungkin berasa terkilan kerana tidak berpeluang untuk menyarung jersi baru semasa menyaksikan pasukan kegemaran masing-masing beraksi kelak, Weston Corp menawarkan potongan harga yang hebat lagi berbaloi bagi jersi-jersi musim lalu.

Sebagai contoh, jersi musim lalu bagi pasukan Arsenal kini dijual pada harga hanya S$49 berbanding harga asal S$110, hampir 55 peratus lebih rendah.
Weston Corp juga menawarkan khidmat tempahan awal bagi sebilangan jersi yang dijualnya.

"Kami akan menelefon dan memberitahu pelanggan-pelanggan setia kami bahawa stok sudah sampai dan mereka sudah boleh mendapatkannya," kata Encik Taufiq.

PERMINTAAN MENINGKAT BAGI JERSI WANITA

Satu lagi perkara yang menarik perhatian ialah permintaan bagi jersi wanita yang turut meningkat sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu. Menurut Encik Taufiq, ini mungkin disebabkan oleh lebih ramai wanita yang menonton perlawanan-perlawanan EPL berbanding beberapa tahun lalu.
Dengan permintaan yang semakin meningkat, pasti timbul cabaran-cabaran baru yang perlu ditangani oleh para pembekal jersi seperti Weston Corp. Antaranya ialah kekurangan tenaga kerja:

"Cabaran kekurangan tenaga kerja bukan sesuatu yang boleh dijangkau. Ia bergantung kepada peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba yang akan meningkatkan lagi permintaan untuk jersi pasukan EPL," jelas Encik Taufiq.

Permintaan bagi jersi Liverpool melambung tinggi semasa pasukan itu mengadakan perlawanan persahabatan di Singapura baru-baru ini sehingga menyebabkan cawangan Weston Corp di Kallang Wave Mall mengalami masalah kekurangan kakitangan, dedah Encik Taufiq selanjutnya.
Sumber : BERITA Mediacorp//fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa