Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Gabungan ISTAF berhak tentukan penyertaan acara campuran Piala Raja Thailand

Gabungan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di setiap negara berhak memilih sama ada untuk menyertai acara campuran atau tidak di Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand ke-35 yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 31 Julai ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Gabungan ISTAF berhak tentukan penyertaan acara campuran Piala Raja Thailand
Setiausaha Agung ISTAF Abdul Halim Kader. (Gambar ihsan: Abdul Halim Kader)
KUALA LUMPUR: Gabungan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di setiap negara berhak memilih sama ada untuk menyertai acara campuran atau tidak di Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand ke-35 yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 31 Julai ini.

Setiausaha Agung ISTAF Abdul Halim Kader berkata beliau tidak akan mempertikaikan sebarang isu batasan agama yang ditimbulkan oleh seorang ahli parti politik berkaitan pergaulan lelaki dan wanita kerana menyedari sensitivitinya.

 "Pengenalan acara campuran ini sebenarnya telah beberapa bulan lepas (sebelum Sukan SEA Vietnam yang berakhir Isnin lalu) dimaklumkan kepada semua negara ahli gabungan ISTAF.

"Mereka termasuk negara-negara Islam seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Iran, Iraq, Afghanistan dan Pakistan serta Oman,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan ISTAF hari ini (29 Mei).

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu yang ditimbulkan oleh Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Pemuda PAS Faizuddin Zai yang menggesa pasukan Malaysia memulaukan Piala Raja Thailand jika acara itu turut dipertandingkan pada 25 Mei lalu.

Justeru, Encik Abdul Halim memaklumkan ISTAF turut memberi kebebasan kepada ahli gabungannya memilih untuk menyertai acara beregu campuran atau kuadran campuran dan tidak boleh kedua-duanya dalam kejohanan berkenaan.

“Dalam hal berkaitan acara regu campuran, ISTAF juga amat mengalu-alukan penyertaan semua negara anggota tanpa ada isu paksaan untuk menyertainya. ISTAF amat memahami kekangan dan soal batasan budaya melibatkan penyertaan beberapa buah negara anggotanya,” terang beliau.

Encik Abdul Halim berkata pengenalan acara regu campuran sepak takraw bakal mendapat sambutan daripada negara anggota ISTAF dan tidak melibatkan sentuhan fizikal pemain, malahan kelonggaran untuk menutup aurat bagi wanita tetap diberi keutamaan.

Beliau memaklumkan ISTAF sedang dalam usaha menyelaraskan sepak takraw dengan perkembangan sukan lain yang bertapak di Sukan Olimpik, dengan hasrat membawa sukan itu ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, dengan bantuan semua negara anggota termasuk Malaysia.
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan