Skip to main content

Sukan

Formula One jangka 24 perlumbaan semusim bagi beberapa tahun mendatang

Formula One merancang untuk menambah jumlah perlumbaan kepada 24 dalam jangka terdekat, dengan beberapa penggiliran litar.

Anggaran Waktu Membaca:
Formula One jangka 24 perlumbaan semusim bagi beberapa tahun mendatang

Ketua Eksekutif Formula One, Chase Carey. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 20 Nov 2020 08:50AM Dikemas Kini : 20 Nov 2020 08:53AM

LONDON: Formula One merancang untuk menambah jumlah perlumbaan kepada 24 dalam jangka terdekat, dengan beberapa penggiliran litar.

Demikian menurut Ketua Eksekutifnya, Chase Carey, pada Khamis (19 Nov).

Sukan itu sudah menyenaraikan jumlah rekod 23 perlumbaan pada tahun depan, bergantung kepada perkembangan pandemik COVID-19 yang memaksa pihak penganjur menyusun semula jadual musim ini serta menghadkan perlumbaan-perlumbaan di Eropah dan Timur Tengah.

Encik Carey, yang bakal digantikan oleh bekas bos pasukan Ferrari Stefano Domenicalli pada Januari nanti namun kekal sebagai pengerusi bukan eksekutif sukan yang dimiliki Liberty Media itu, berkata demikian kepada para pelabur.

"Kami menjangkakan untuk beralih kepada jadual 24 perlumbaan untuk beberapa tahun mendatang dan mungkin akan melakukan penggiliran bagi beberapa perlumbaan supaya kami dapat menerima beberapa rakan kerjasama baru," kata beliau.

"Tetapi ia terhad memandangkan kerjasama jangka panjang terus menjadi keutamaan kami."

Formula One menganjurkan dua perlumbaan baru tahun ini disebabkan pandemik COVID-19, di litar Algarve Portugal dan Mugello di Itali.

Ia juga mengembalikan perlumbaan di Nuerburgring di Jerman, Imola di Itali dan Istanbul Park di Turki buat pertama kali setelah bertahun lamanya.

Perlumbaan-perlumbaan itu adalah sebagai ganti bagi perlumbaan lain yang terpaksa dibatalkan. Akhirnya hanya 17 pusingan dijalankan.

Arab Saudi buat pertama kali akan menyertai pusingan dalam musim seterusnya dengan perlumbaam pada sebelah malam di Jeddah.

Formula One tidak pernah mengadakan lebih daripada 21 perlumbaan dalam satu musim dan langkah menambah perlumbaan itu menimbulkan kebimbangan tentang beban yang diletakkan ke atas kakitangan pasukan perlumbaan.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita