Final kitefoil ditunda selepas satu perlumbaan; keadaan angin "hampir mustahil" untuk atlet berlumba

Atlet kitefoil Singapura Maximilian Maeder beraksi pada perlawanan akhir Olimpik Paris pada 8 Ogos 2024 di Marina Marseille. (Gambar: SNOC/Kong Chong Yew)
MARSEILLE: Juara dunia sukan kitefoil dari Singapura, Maximilian Maeder terpaksa menunggu satu hari lagi dalam usahanya memburu pingat Olimpik, selepas saingan akhir lelaki ditangguhkan pada Khamis (8 Ogos).
Pemain berusia 17 tahun itu menduduki tempat kedua dalam perlumbaan pertama dan satu-satunya yang berlangsung pada Khamis. Baki perlumbaan kemudian ditangguhkan ke hari Jumaat, kerana keadaan angin yang "hampir mustahil" untuk membolehkan atlet berlumba.
Atlet dari Austria Valentin Bontus menduduki tempat pertama pada perlumbaan itu, manakala Riccardo Pianosi dari Itali menduduki tempat ketiga dan pendahulu perlumbaan keseluruhan Toni Vodisek dari Slovenia di tempat keempat.
Maeder secara automatik mara ke peringkat akhir selepas menduduki tempat kedua dalam kedudukan keseluruhan pada siri pembukaan.
Dalam peringkat akhir, peserta perlu menang tiga perlumbaan untuk meraih pingat emas.
Bagaimanapun, Vodisek, yang mengungguli siri pembukaan, mempunyai kelebihan memulakan saingan akhir dengan dua kemenangan dan hanya memerlukan satu lagi untuk merangkul emas.
Maeder memulakan perlawanan akhir dengan satu kemenangan dan memerlukan dua lagi kemenangan untuk membawa pulang emas, manakala Bontus dan Pianosi, sebagai pemenang separuh akhir, memerlukan tiga kemenangan setiap satu.
Keputusan pada Khamis bermakna Vodisek masih mendahului saingan manakala Maeder dan Bontus kini terikat dengan satu kemenangan.
Anda boleh ikuti liputan Sukan Olimpik Paris 2024 di mewatch. Lungsuri www.mewatch.sg/paris2024 bagi butiran lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.