FIFA siasat pemain Argentina susuli insiden final Piala Dunia, kain rentang Kepulauan Falkland
FIFA membuka prosiding tatatertib terhadap beberapa pemain dan pegawai Argentina susulan insiden selepas perlawanan akhir Piala Dunia 2026 serta tindakan mempamerkan sepanduk berkaitan Kepulauan Falkland.
Pemain Argentina, Lisandro Martinez (dua dari kiri) dan Giovani Lo Celso, meraikan kemenangan ke final Piala Dunia 2026 sambil memegang kain rentang berkaitan Kepulauan Falkland selepas menewaskan England di separuh akhir. (Gambar: Reuters/Amanda Perobelli)
Insiden berlaku selepas Argentina kalah 1-0 kepada Sepanyol setelah masa tambahan dalam perlawanan akhir di New York.
Beberapa pemain dan pegawai Argentina dilaporkan bersemuka dengan pemain Sepanyol sejurus tamat perlawanan.
Mereka yang disiasat termasuk Nahuel Molina, Thiago Almada, Leandro Paredes, pegawai pasukan Roberto Ayala, serta pemain Sepanyol Pablo Martin Paez Gavira.
Mereka berdepan pelbagai pertuduhan, termasuk serangan fizikal dan kelakuan tidak bersukan.
FIFA turut menyiasat insiden selepas kemenangan Argentina 2-1 ke atas England pada peringkat separuh akhir apabila beberapa pemain mengangkat kain rentang bertulis "Las Malvinas son Argentinas" yang membawa maksud "Kepulauan Falkland milik Argentina".
Menurut FIFA, siasatan itu melibatkan kemungkinan pelanggaran peraturan berkaitan penggunaan acara sukan bagi tujuan bukan sukan, salah laku pasukan, diskriminasi dan perkauman, serta aspek ketenteraman dan keselamatan perlawanan.
Badan bola sepak dunia itu turut merujuk kepada dakwaan laungan dan isyarat berunsur diskriminasi, kelewatan sepak mula, kegagalan mematuhi protokol perlawanan dan keselamatan, paparan mesej yang tidak sesuai oleh pasukan dan penyokong, serta tindakan membaling objek oleh penonton dalam beberapa perlawanan Argentina sepanjang Piala Dunia 2026.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.