Skip to main content

Sukan

FIFA sahkan hadiah wang tunai AS$50 juta bagi juara Piala Dunia FIFA

FIFA mengesahkan bahawa hadiah wang tunai sebanyak AS$50 juta (S$64.56 juta) akan ditawarkan kepada negara juara pada Piala Dunia FIFA musim panas akan datang, sedang pertikaian mengenai harga tiket kejohanan itu terus memuncak, lapor PA Media/dpa.
Anggaran Waktu Membaca:
FIFA sahkan hadiah wang tunai AS$50 juta bagi juara Piala Dunia FIFA
Trofi Piala Dunia FIFA pada 5 Disember 2025. (Gambar: REUTERS/Mandel Ngan)
LONDON: FIFA mengesahkan bahawa hadiah wang tunai sebanyak AS$50 juta (S$64.56 juta) akan ditawarkan kepada negara juara pada Piala Dunia FIFA musim panas akan datang, sedang pertikaian mengenai harga tiket kejohanan itu terus memuncak, lapor PA Media/dpa.

Majlis FIFA meluluskan jumlah wang hadiah bagi kejohanan itu dalam satu mesyuarat di Doha pada Rabu (17 Dis), dengan jumlah keseluruhan dana yang disediakan untuk negara bertanding ditetapkan sebanyak AS$727 juta (S$938.7 juta), iaitu meningkat 50 peratus berbanding Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar.

Setiap negara akan menerima AS$1.5 juta (S$1.94 juta) daripada FIFA bagi kos persediaan, serta sekurang-kurangnya tambahan AS$9 juta (S$11.62 juta) kerana beraksi di peringkat kumpulan.

Pengesahan tersebut dibuat ketika kumpulan peminat menuduh FIFA bermain "permainan PR" berkaitan harga tiket.

Badan induk bola sepak dunia itu mengumumkan pada Selasa (16 Dis) yang tiket berharga AS$60 (S$77.47) akan disediakan melalui kuota yang dijual oleh persatuan kebangsaan kepada penyokong paling setia mereka, susulan kritikan meluas terhadap struktur harga awal FIFA yang didedahkan minggu lalu.

Namun begitu, hanya 10 peratus tiket dalam kuota itu akan ditawarkan pada harga tersebut.

Sebagai contoh, bagi perlawanan England menentang Croatia, ia hanya memberi manfaat kepada kira-kira 400 daripada lebih 4,000 penyokong yang layak membeli tiket melalui kuota Kelab Penyokong Kembara England (ESTC).

Bagi selebihnya, harga tiket akan bermula pada AS$230 (S$296.98) untuk perlawanan pembukaan itu dan melonjak kepada AS$4,185 (S$5,403.67) bagi perlawanan akhir.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita