Skip to main content

Sukan

FIFA disiasat berhubung dakwaan rasuah, hubungan Trump

Anggaran Waktu Membaca:
  FIFA disiasat berhubung dakwaan rasuah, hubungan Trump

Presiden FIFA Gianni Infantino pada 31 Mac 2026. (Gambar: REUTERS/Kaan Soyturk)

Diterbitkan : 28 Jul 2026 02:13PM Dikemas Kini : 28 Jul 2026 02:15PM
  • Jamie Raskin dari Parti Demokrat memulakan siasatan terhadap FIFA dan pentadbiran Trump berkaitan dakwaan rasuah dan quid pro quo.
  • Siasatan ini meneliti hubungan FIFA dengan Trump, termasuk pengguguran kes rasuah dan amalan penjualan tiket Piala Dunia yang mencurigakan.
  • Raskin meminta dokumen, rekod komunikasi, serta kehadiran Gianni Infantino untuk sesi temu bual dengan jawatankuasa sebelum 9 Ogos 2026.
  • Motivasi siasatan adalah untuk memastikan ketelusan tadbir urus FIFA dan mengkaji kemungkinan campur tangan pentadbiran Trump dalam kes rasuah bola sepak antarabangsa.
Dijana oleh AI
WASHINGTON: Seorang anggota Parti Demokrat di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat pada Isnin (27 Jul) berkata beliau sudah memulakan siasatan terhadap FIFA berhubung kemungkinan berlaku rasuah dan amalan quid pro quo melibatkan badan itu dengan pentadbiran Trump, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam surat yang dihantar lewat Ahad kepada Presiden FIFA Gianni Infantino, anggota Dewan Perwakilan Jamie Raskin, anggota kanan Parti Demokrat dalam Jawatankuasa Kehakiman Dewan Perwakilan, berkata siasatan itu akan meneliti “kempen berterusan” oleh FIFA untuk mendapatkan layanan yang menguntungkan daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, termasuk pengguguran kes rasuah berprofil tinggi di Amerika Syarikat yang melibatkan badan induk bola sepak dunia itu.

“Quid pro quo terkini yang diatur oleh FIFA dan Presiden Encik Trump bukanlah jenayah tanpa mangsa,” kata Encik Raskin.

Beliau mendakwa FIFA menggunakan hubungannya dengan pentadbiran Trump untuk terlibat dalam “pemerasan harga yang menyalahi undang-undang dan taktik jualan berbentuk penipuan” bagi tiket Piala Dunia.

Menurut Encik Raskin, siasatan itu akan meneliti tadbir urus FIFA di bawah Infantino, termasuk dakwaan bahawa badan itu melemahkan perlindungan etika dalaman ketika berusaha memupuk hubungan lebih rapat dengan Encik Trump.

Anggota kongres itu turut menuduh pentadbiran Trump menghentikan penguatkuasaan antirasuah yang melibatkan FIFA selepas pendakwaan Jabatan Kehakiman sebelum ini mendedahkan skim rasuah antarabangsa yang telah lama beroperasi dan dikaitkan dengan hak media bola sepak.

Encik Raskin berkata siasatan Jabatan Kehakiman sebelum ini mendedahkan rasuah dan sogokan bernilai lebih AS$200 juta melibatkan defendan dari lebih 20 negara.

Beliau mendakwa walaupun berjaya mendapatkan sabitan dalam beberapa kes, pentadbiran Trump kemudian menggugurkan pendakwaan, sekali gus membolehkan defendan yang sudah disabitkan kesalahan dibebaskan.

Siasatan itu juga akan memberi tumpuan kepada amalan penjualan tiket Piala Dunia oleh FIFA, yang menurut Encik Raskin termasuk kenaikan harga, penetapan harga dinamik dan dasar yang membenarkan penurunan taraf tempat duduk selepas pembelian.

Encik Raskin meminta dokumen dan komunikasi berkaitan sebarang hadiah, bayaran atau manfaat lain yang didakwa diberikan oleh FIFA kepada Encik Trump atau sekutunya, selain rekod mengenai hubungan FIFA dengan pegawai pemerintah Amerika Syarikat serta amalan penjualan tiket badan itu.

Beliau turut meminta rekod pelawat ke pejabat FIFA di Trump Tower dan meminta Encik Infantino hadir di hadapan jawatankuasa itu untuk sesi temu bual.

“Selain itu, bagi membantu siasatan ini, kami meminta anda, semasa berada di Amerika Syarikat, hadir untuk sesi temu bual dengan jawatankuasa ini. Sila hubungi kakitangan Demokrat dalam jawatankuasa, selewat-lewatnya pukul 5.00 petang pada 9 Ogos 2026 untuk menjadualkan temu bual ini,” kata Encik Raskin dalam surat itu.
 
Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita