Skip to main content

Sukan

FIFA dedah dokumen pelan jual hak Piala Dunia

Anggaran Waktu Membaca:
 FIFA dedah dokumen pelan jual hak Piala Dunia

Presiden FIFA, Gianni Infantino. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 03 Nov 2026 07:30AM Dikemas Kini : 03 Nov 2026 07:32AM
FIFA reveals documents on plan to sell World Cup rights
  • FIFA cancelled its US$20 billion FFE plan to sell the World Cup’s commercial rights after widespread criticism that undermined President Gianni Infantino’s position.
  • On Monday, Secretary-General Mattias Grafstrom invited FIFA Council members to express interest in reviewing key documents in Zurich, with access subject to conditions.
  • The move coincided with UEFA’s Nov 2 deadline to answer more than 100 questions on governance, including FFE and the FIFA Peace Prize. FIFA considers the two-week period unreasonable because of commitments involving tournaments and congresses, as well as legal constraints.
  • European associations continue to demand reforms and oppose Infantino, but support from the AFC strengthens his chances. He is scheduled to contest the election in March 2027, with nominations closing on Nov 18.
Dijana oleh AI

PARIS: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan membenarkan ahli-ahli Majlis FIFA meneliti dokumen penting berhubung cadangan FIFA Forward Enterprise (FFE) yang telah dibatalkan, menurut sumber yang mengetahui secara langsung perkara tersebut.

Menurut Reuters, FIFA membatalkan rancangan bernilai AS$20 bilion untuk menjual hak komersial Piala Dunia FIFA pada awal musim panas lalu, hanya beberapa hari selepas cadangan itu diumumkan.

Pembatalan tersebut dibuat menyusuli bantahan meluas yang dilihat menjejaskan kedudukan Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Sumber itu berkata Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom, menghantar surat kepada ahli-ahli Majlis FIFA pada Isnin, menjemput mereka menyatakan minat untuk menyemak dokumen berkenaan di ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland.

Bagaimanapun, akses kepada dokumen tersebut tertakluk kepada beberapa syarat tertentu.

Langkah itu diambil pada hari yang sama dengan tarikh akhir yang ditetapkan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) untuk FIFA menjawab beberapa persoalan mengenai kepimpinan Infantino.

Ia berlaku ketika beberapa persatuan bola sepak Eropah terus menggesa pembaharuan dalam FIFA dan menyuarakan bantahan terhadap usaha Encik Infantino untuk dipilih semula sebagai presiden.

Sebelum ini, beberapa persekutuan bola sepak menuntut perubahan besar pada pentadbiran FIFA selepas cadangan FFE gagal dilaksanakan.

Encik Infantino sendiri pernah mencadangkan supaya satu semakan bebas dijalankan terhadap proses membuat keputusan dalam badan induk bola sepak dunia itu.

Pada bulan lalu, UEFA menghantar surat kepada FIFA untuk mendapatkan penjelasan mengenai beberapa isu pentadbiran di bawah kepimpinan Encik Infantino.

Antara perkara yang dibangkitkan ialah cadangan FFE dan Anugerah Keamanan FIFA, dengan 2 November ditetapkan sebagai tarikh akhir untuk FIFA memberikan jawapan.

Bagaimanapun, menurut sumber tersebut, FIFA menganggap tempoh dua minggu yang diberikan UEFA untuk menjawab lebih 100 soalan sebagai tidak munasabah.

Ini kerana FIFA kini sedang memberi tumpuan kepada penganjuran kejohanan baharu Piala Dunia Remaja di Baku, Azerbaijan.

Pada masa yang sama, FIFA turut membuat persiapan bagi Kongres Luar Biasa pada 23 November, yang akan menentukan negara tuan rumah Piala Dunia Wanita FIFA 2031 dan 2035.

Sumber itu menambah bahawa prosiding undang-undang yang masih berlangsung di Amerika Syarikat turut menyebabkan FIFA berdepan beberapa kekangan dari segi perundangan.

"FIFA menegaskan bahawa jawapan kepada ahli-ahli Majlis akan diberikan pada masa yang sesuai, manakala peluang untuk meneliti dokumen utama tersebut hanya ditawarkan kepada ahli Majlis FIFA," menurut sumber itu.

Sementara itu, peluang Encik Infantino untuk mengekalkan jawatannya dilihat semakin cerah selepas beliau menerima sokongan Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) lebih seminggu lalu bagi penggal keempat sebagai Presiden FIFA.

Sokongan tersebut dilihat menjadikan bantahan dari Eropah terhadap kepimpinan Encik Infantino semakin kurang mendapat sokongan di peringkat antarabangsa.

Encik Infantino dijadual bertanding semula dalam pemilihan Presiden FIFA pada Mac 2027, manakala tarikh akhir untuk mengemukakan pencalonan ialah 18 November.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita