Skip to main content

Sukan

FIA isytihar 'bahaya haba' buat julung kalinya bagi perlumbaan Formula 1 di SG

Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) buat julung kalinya menguatkuasakan peraturan "bahaya haba" pada perlumbaan Formula 1 berikutan suhu tinggi yang diramalkan bagi Grand Prix Singapura pada hujung minggu ini.

Anggaran Waktu Membaca:
FIA isytihar 'bahaya haba' buat julung kalinya bagi perlumbaan Formula 1 di SG

Grand Prix Formula 1 Singapura 2023 pada 17 September 2023. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) buat julung kalinya menguatkuasakan peraturan "bahaya haba" pada perlumbaan Formula 1 berikutan suhu tinggi yang diramalkan bagi Grand Prix Singapura pada hujung minggu ini.

Perlumbaan malam itu juga merupakan antara yang paling mencabar dalam kalender Formula 1, dengan gabungan haba dan kelembapan yang mendedahkan para pelumba kepada suhu yang dirasakan seakan-akan sehingga 50 darjah Celsius di dalam kokpit.

“Setelah menerima ramalan ... yang menjangkakan Indeks Haba akan melebihi 31 darjah Celsius pada suatu ketika semasa acara perlumbaan ini, satu amaran Bahaya Haba diisytiharkan,” menurut badan induk sukan permotoran itu dalam satu kenyataan pada Khamis (2 Okt).

Peraturan tersebut diperkenalkan selepas para pelumba mengalami keletihan serius dalam Grand Prix Qatar 2023.

Ini bermakna pelumba perlu memakai jaket penyejuk, yang menyalurkan cecair sejuk melalui tiub untuk mengekalkan suhu badan, atau menambah pemberat tambahan pada kereta masing-masing untuk perlumbaan.

Para pelumba yang tidak memakai jaket itu perlu membawa pemberat tambahan seberat 0.5kg supaya mereka tidak mendapat kelebihan berbanding pelumba lain yang memakainya.

Setiap kilogram berat yang dikurangkan boleh disamakan dengan sekitar satu persepuluh saat pada catatan masa pusingan, sesuatu yang boleh menjadi kelebihan besar.

Jaket penyejuk itu akan menjadi mandatori dalam keadaan panas bermula musim depan.

“Saya fikir ini wajar, sejujurnya, saya rasa hanya panas sahaja tidak terlalu buruk bagi kami,” kata pelumba Williams, Carlos Sainz, kepada para wartawan.

“Kelembapan sahaja pun tidak terlalu teruk, tetapi apabila ia mencapai 28 hingga 30 darjah Celsius dengan keadaan lembab, ketika itulah ia mencapai tahap di Singapura dan ia memang sukar.”
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita