FAS sambung pencarian kelab sertai Liga Perdana SG
Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Rabu (5 Feb) mengumumkan ia akan menyambung semula pencarian kelab untuk menyertai Liga Perdana Singapura (SPL) - di mana kelab bola sepak tempatan dan luar negara boleh buat permohonan.

Pemain Lion City Sailors mengejar bola semasa perlawanan SPL. (Gambar: Facebook/SPL)
Pihak berminat perlu menyerahkan "usulan menyeluruh untuk penyertaan" dalam SPL mulai musim 2025/2026.
Ini menyusuli gerakan serupa yang diadakan pada penghujung musim SPL sebelum ini pada 2023, dengan sebahagian besar syarat-syaratnya kekal sama, menurut FAS.
Tambahnya, tiada kelab baharu menyertai SPL walaupun FAS menyatakan ia telah menerima beberapa permohonan dan memberikan kelulusan secara prinsip kepada satu kelab untuk menyertai musim SPL 2024/2025.
Mediacorp difahamkan bahawa kelab itu adalah Kelab Bola Sepak Tengah.
"Kelab yang disenarai pendek itu melalui proses penilaian, yang mengambil masa lebih lama daripada dijangkakan," menurut FAS pada tahun lalu.
"Disebabkan oleh waktu yang terbatas sebelum permulaan SPL pada Mei 2024, kelab itu memutuskan untuk tidak bertanding dalam musim 2024/25."
"SPL LEBIH MENARIK"
FAS pada Rabu menyatakan ia akan menjalankan pusingan kedua pencarian kelab baharu kerana beberapa pihak telah menunjukkan minat menyusuli penutupan sesi sebelumnya.
SPL kini mempunyai sembilan pasukan dan FAS jelas menyatakan "hasratnya untuk mengembangkan liga itu melebihi jumlah sekarang". Secara khusus, untuk melibatkan kelab bola sepak privet dan komersial.
"Penyertaan lebih banyak kelab itu akan menjadikan SPL lebih menyeronokkan dan menyediakan lebih banyak peluang untuk pemain bola sepak Singapura beraksi di peringkat tertinggi di Singapura," menurut FAS.
Menerusi pencarian itu juga, FAS menyatakan ia "ingin mengenal pasti kelab-kelab yang bersedia memajukan nilai-nilai SPL, menyumbang kepada perkembangan sukan bola sepak di Singapura di samping menawarkan pengalaman dan aksi bola sepak lebih kompetitif kepada peminat".
PROSES PERMOHONAN DAN PENILAIAN
Proses itu dibahagikan kepada tiga fasa utama - permohonan, penilaian dan pembaharuan.
Setiap permohonan perlu disertakan dengan gambaran penuh kelab, pemilikan dan pengurusannya, kemudahan latihan, pelan kewangan, pengambilan pemain termasuk strategi pembangunan pasukan bola sepak wanita dan belia, struktur teknikal dan jurulatih bagi skuad wanita dan belia serta pelan mendampingi masyarakat dan peminat.
Ia juga sebahagian daripada kriteria bagi penilaian permohonan mereka.
Kelab dari luar negara yang berminat menyertai SPL perlu menyediakan surat pengesahan daripada persatuan masing-masing, bagi "menyokong hasrat dan permohonan mereka untuk dipertimbangkan sebagai pasukan yang menyertai" SPL.
Permohonan harus dihantar selewat-lewatnya pukul 6.00 petang pada 14 Mac 2025.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.