Skip to main content

Sukan

FAS mohon maaf atas 'kesilapan' pencalonan bagi anugerah 'Cerita Terbaik'

Anggaran Waktu Membaca:
FAS mohon maaf atas 'kesilapan' pencalonan bagi anugerah 'Cerita Terbaik'

Gambar: Persatuan Bola Sepak Singapura/Facebook

SINGAPURA: Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Selasa (21 Nov) memohon maaf atas apa yang disebutnya sebagai "kesilapan" semasa proses penyusunan bagi pencalonan anugerah tahunan "Cerita Terbaik".

Anugerah itu bakal disampaikan pada malam anugerah tahunan FAS, pada Khamis di Hotel Orchard. Dua pencalonan daripada senarai asal bagi kategori itu telah ditarik balik dan digantikan dengan dua penyertaan baharu.

Dalam e-mel kepada media, pengarah perhubungan korporat FAS Mustaffa Ehsan berkata terdapat kesilapan dengan penyertaan cerita yang tidak "mengikut kriteria kelayakan asal".

“Kami akui bahawa semua media telah diberitahun dengan jelas untuk menghantar cerita berkaitan Liga Perdana Singapura (SPL) secara eksklusif, dan setiap organisasi hanya dibenarkan menghantar satu penyertaan,” katanya.

"Malangnya, disebabkan kesilapan manusia semasa proses penyusunan, penyertaan di luar skop SPL telah dimasukkan dan sebagai tambahan pula, lebih daripada satu penyertaan daripada organisasi yang sama telah disenarai pendek untuk tiga calon terakhir."

Atas sebab itu, FAS menarik balik dua pencalonan - "Singapore footballer joins Borussia Dortmund women’s team, puts studies on hold to pursue career’" oleh Aslam Iskhandar Shah dari CNA dan Fabian Koh; serta artikel oleh Kenneth Tan di Lion City Sailor's ‘I feel like a kid again: Izwan Mahbud back and ready to rediscover old groove’. Ia digantikan dengan dua penyertaan yang telah "dinilai dan digred oleh panel penilai untuk anugerah ini" , kata Encik Ehsan.

Beliau menambah bahawa dua pencalonan awal telah ditarik balik "dalam semangat keadilan" kepada media lain yang telah mematuhi kriteria asal yang ditetapkan.

"Saya secara peribadi telah menghubungi individu dari kedua-dua CNA (Broadcast) dan Lion City Sailors untuk menjelaskan dan memohon maaf atas kejadian malang ini dan mereka telah menerima penjelasan dan permohonan maaf saya," kata Encik Ehsan.

"Saya berterima kasih kepada mereka atas kebaikan dan pemahaman mereka kerana mereka tidak bersalah sama sekali dalam situasi ini."

Beliau menambah bahawa kesilapan itu "sepenuhnya tidak disengajakan" dan sama sekali tidak menggambarkan kekurangan komitmen terhadap garis panduan Malam Anugerah FAS 2023.

"Proses penghakiman bagi kategori Cerita Terbaik telah dijalankan dengan penuh integriti, memberi tumpuan semata-mata kepada merit kandungan yang dikemukakan dan tanpa pengetahuan tentang asal usul setiap penyertaan, untuk memastikan kesaksamaan sepenuhnya," tambah beliau.

"Panel penilai telah menyerahkan markah masing-masing untuk semua penyertaan langsung kepada FAS dan tanpa sebarang perbincangan terlebih dahulu antara satu sama lain. Kesilapan yang berlaku semasa penyusunan penyertaan tidak memberi kesan kepada penilaian adil terhadap cerita, dan setiap penyertaan dinilai berdasarkan merit individunya dalam konteks Liga Perdana Singapura."

Encik Ehsan berkata beliau sedang mengambil langkah untuk menangani kesilapan itu dan kriteria kelayakan juga akan disemak semula untuk memastikan "perwakilan yang lebih luas dan tepat" yang mencerminkan bola sepak Singapura.

"Saya maklum akan peri pentingnya untuk menegakkan integriti dan ketelusan anugerah berprestij itu, dan saya amat kesal dengan sebarang kekeliruan atau kesulitan yang ditimbulkan oleh kesilapan ini untuk anda dan pasukan anda," katanya.

Untuk membetulkan keadaan ini, saya sedang mengambil langkah-langkah untuk menangani kelemahan bagi memastikan ia tidak berlaku pada acara akan datang. Selain itu, saya akan melaksanakan langkah kawalan kualiti yang dipertingkatkan semasa proses penyusunan penyertaan untuk melindungi daripada kesilapan yang sama pada masa akan datang."

Ini bukan kali pertama badan induk sukan itu melakukan kesilapan dalam penyampaian anugerah berkaitan kewartawanan.

Pada 2019, Sport Singapore (SportSG) memohon maaf atas kesilapan yang mengakibatkan orang yang salah menerima anugerah Wartawan Sukan Terbaik berikutan "kesilapan pentadbiran" oleh seorang anggota kakitangan SportSG.

 
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita